Jumaat, 10 Jun 2016

Kenapa ubah tempat mengundi?

 
Tindakan SPR menukar tempat mengundi hanya akan menimbulkan kekeliruan pada hari pengundian 18 Jun nanti.


khalid-samad_spr_undi_6001


SUNGAI BESAR: AMANAH mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan status tempat mengundi terbaru bagi 4,524 pengundi di Sungai Besar.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata, tindakan SPR itu hanya akan menimbulkan kekeliruan pada hari pengundian kelak.

“Tindakan ini pasti akan menjejaskan dan menyebabkan pengundi di Sungai Besar keliru. Namun masih ada masa untuk mereka lakukan perubahan.

“Kita juga hairan kenapa mereka lakukan dalam waktu terdekat bila ada PRK ini dan kenapa tidak lakukan pada waktu PRU13 lalu,” ujarnya.

Beliau berkata, SPR juga dilihat tidak memaklumkan secara rasmi pertukaran tempat mengundi tersebut, sebaliknya ia hanya disedari pada hari penamaan calon Ahad lalu.

Sementara itu, ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin terkejut dengan tindakan SPR menukar tempat mengundi yang dikhuatiri akan mempengaruhi 10% pengundi di PRK Parlimen Sungai Besar.

“Di DUN Sungai Panjang, seramai 2,520 pengundi di kawasan Kampung Baru Nelayan, Taman Seri Indah, Jalan Panchang Bedena, Taman Seri dan beberapa kawasan telah dikumpulkan ke sebuah daerah mengundi baru iaitu ‘Kampung Baharu Nelayan’,” jelasnya.

Sementara itu, Khalid turut mengeluh PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan pada bulan Ramadan.

“PRK pada bulan Ramadan ini menyulitkan kami untuk berkempen. Kami tidak ada alat propaganda seperti media arus perdana.

“SPR mempunyai masa 60 hari untuk menetapkan tarikh pilihan raya, kenapa lakukan pada waktu ini sedangkan ia juga boleh dilakukan selepas Ramadan?

“Sembahyang habis pada pukul 11 malam dan permit ceramah pula habis pukul 12 tengah malam,” katanya.

Tiada ulasan: