Isnin, 13 Jun 2016

Keluarga remaja hina TMJ cuba kurangkan tempoh penjara

 
 
Peguam remaja Muhammad Amirul Azwan, yang dipenjara selepas mengaku bersalah menghina Tunku Mahkota Johor, memfailkan notis rayuan terhadap hukuman itu di Mahkamah Tinggi Johor Bahru hari ini.

Hassan Karim berkata beliau diarahkan oleh keluarga Amirul untuk memohon mengurangkan tempoh pemenjaraan Amirul.

Amirul sebelum ini mengaku bersalah terhadap 14 tuduhan menghina Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan sengaja dan dijatuhi hukuman penjara maksimum bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Kenapa penjarakan dia? Dia sepatutnya didenda saja.

“Dia pesalah yang masih muda, hanya berumur 19 tahun dan baru saja habis sekolah,” katanya kepada Malaysiakini.

Hassan yang juga pengerusi PKR Johor berkata Amirul tidak diwakili peguam apabila didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru sebelum ini.

Seksyen 233 akta itu berkaitan penggunaan tidak wajar jaringan Internet untuk tujuan menggangu, mengugut atau menyakitkan hati pihak lain.

Undang-undang juga memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya jika disabitkan bersalah

Tiada ulasan: