Ahad, 5 Jun 2016

Jentera pilihan raya PKR bantu kempen PAN ikut keperluan - Zuraidah

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PKR akan mengarahkan jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar berpandukan keperluan Parti Amanah Negara (PAN), kata Zuraidah Kamaruddin sekaligus menolak desas-desus partinya tidak aktif dalam berkempen kali ini.
 
Ketua Wanita PKR itu memberitahu jentara pilihan raya PKR sudahpun memulakan tugasnya dengan menyertai perarakan penamaan calon di dua kerusi Parlimen itu, pagi tadi.
 
"Kita tengok kepada keperluan Amanah (PAN) sebagai barisan hadapan (Pakatan Harapan) dan kita akan tengok macam mana (nanti).
 
"Tadi masa penamaan calon kita (PKR) memang gerakkan jentera kita," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar kali ini, PKR dilihat dalam keadaan tersepit sementelah partinya perlu memberi sokongan kepada PAN yang merupakan rakan komponennya dalam Pakatan Harapan (PH).
 
Dalam masa sama, PKR juga masih mengekalkan tahaluf siyasi dengan PAS yang juga meletakkan calonnya untuk merebut dua kerusi Parlimen itu, 18 Jun depan. 
 
Zuraidah dalam pada itu, memberitahu Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali akan turun berkempen pada PRK kali ini.
 
Bagaimanapun, Azmin hanya akan turun berkempen jika tidak terikat dengan program Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sepanjang bulan puasa yang akan bermula esok.
 
"Dia (Datuk Seri Azmin) kata tengok jadual sebab dia mahu ke Kuala Kangsar dan Sungai Besar juga dan dia terikat dengan program Sultan (Selangor) untuk Ramadan," jelasnya. 
 
Azmin sebelum ini diminta Presiden PKR, Datuk Seri  Dr Wan Azizah Wan Ismail agar tidak hadir semasa pengumuman nama calon PAN, kerana mahu menjaga sensitiviti PAS.
 
PAS dan PKR sebelum ini berdepan dengan krisis apabila Azmin dikatakan memberi kata dua kepada tiga Exco PAS di Selangor untuk meletakkan jawatan jika parti Islam itu mahu bertanding di PRK Sungai Besar.
 
Azmin bagaimanapun menafikan perkara itu dan tiga Exco PAS pula mengunci mulut dan enggan mengulas lanjut.
 
"Itu waktu pengumuman calon, Presiden (Datuk Seri Dr. Wan Azizah) cakap dia tidak turun sebab nanti (hari ini) dia turun sebagai Menteri Besar untuk jumpa semua calon-calon Barisan Nasional (BN), PAS dan Parti Amanah Negara), dia jumpa semua," katanya.
 
Pakatan Harapan diwakili calon PAN, Azhar Abdul Shukor menentang calon PAS, Dr Rani Osman dan calon BN, Budiman Mohd Zohdi.

Tiada ulasan: