Sabtu, 25 Jun 2016

Ismail Mohamed Ganti Muhyiddin Pangku Ketua Umno Bahagian Pagoh

MSTAR ONLINE
 
 
Ismail Mohamed.
 
 
JOHOR BARU: Timbalan Ketua Umno Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed secara automatik memangku jawatan Ketua Umno Bahagian Pagoh berkuat kuasa serta-merta ekoran pengumuman pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari parti, Jumaat.

Dalam kenyataan di sini, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Md Jais Sarday berkata surat pengesahan kedudukan Ismail sebagai pemangku akan dikeluarkan selewat-lewatnya Isnin (27 Jun) memandangkan Sabtu dan Ahad, ibu pejabat Umno ditutup kerana cuti hujung minggu.

"Kenyataan selanjutnya akan dikeluarkan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Johor selewat-lewatnya esok," katanya di sini, Jumaat malam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno pada petang Jumaat mengumumkan pemecatan Muhyiddin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir kerana melakukan pelanggaran disiplin.
advertisement
Sementara itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal digantung keahliannya sehingga Majlis Tertinggi (MT) Umno menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin parti.

Muhyiddin, 69, yang merupakan Anggota Parlimen Pagoh sejak memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya ke-5 pada 1978, merupakan Ketua Umno Bahagian Pagoh dari 1986. - Bernama

Tiada ulasan: