Khamis, 2 Jun 2016

Husam meroyan bila PAS jatuhkan talak?

Oleh Lokman Ramlee
Post Pic
 
 
[ULASAN] Sewajarnya Datuk Husam Musa merujuk kes pemecatannya dari PAS yang “masih disayanginya” itu kepada Pendaftar Pertubuhan ROS dan bukan menggunakan pelbagai alasan dan ruang untuk terus mengkritik PAS.
 
Langkah ini adalah lebih waras dan bijaksana memandangkan Husam menggunakan hujah bahawa pemecatannya itu tidak mengikut tatakelola dan perlembagaan parti.
 
Justeru sebarang keputusan atau tindakan pimpinan parti sebagai sebuah pertubuhan politik berdaftar dengan ROS mestilah dirujuk kepada pertubuhan berkenaan untuk mendapat keadilan untuk dirinya.
 
Namun sebaliknya Husam bertindak untuk menyelitkan kisah “penderaannya” itu dalam setiap kesempatan untuk mencuri perhatian media khususnya seolah-olah mahu terus mendedahkan “kepincangan” dalam PAS. 
 
Walhal jika menurut tatakelola disiplin PAS, Husam diberi kesempatan dalam tempoh tertentu untuk membuat rayuan terhadap keputusan Lembaga Disiplin yang menggugurkan keahliannya dalam PAS.
 
“Pendakwaan dibuat secara tangkap muat dan ambil mudah, tidak berdasarkan kata- kata sebenar dalam ucapan saya sebelum ini, selain atas alasan kerana menjadi saksi dalam satu kes sivil selepas mahkamah mengeluarkan sapina kepada saya,” kata Husam.
 
Dalam pada itu, Husam turut mendakwa, pemecatan beliau itu antara lain bertujuan menghalangnya menghadiri Muktamar Tahunan PAS yang bermula pada 1 hingga 3 Jun ini.
 
Yang nyata, Husam memberi pelbagai alasan melengah-lengahkan rayuan itu. Di satu peringkat beliau menyatakan sudahpun menulis sebahagian surat rayuan pemecatan itu kepada presiden parti, Datuk Seri Hadi Awang.
 
Bagaimanapun beliau mendakwa tiada “mood” untuk melengkapkan dokumen bicara itu tambahan pula tempoh “iddah”nya masa banyak berbaki. 
 
Sudah tentu sikap Husam itu tidak membayangkan hasrat seseorang untuk merujuk kembali kepada parti. Ini kerana dalam hampir setiap kenyataan medianya akan diselitkan beberapa dakwaan tentang kepincangan dalam PAS.
 
Di segi pentadbiran, pimpinan PAS nampaknya amat bersabar menangani dakwaan dan sindiran Husam. Bekas Naib Presiden PAS itu diberikan banyak masa dan ruang “menjaja” alasannya dan sekaligus kritikannya terhadap PAS.
 
Anehnya di sebalik lagak berani, jujur dan semangat penuh kasih sayang mahu memelihara maruah dan integriti PAS, Husam sebenarnya bertindak seperti seorang yang berkelahi dalam rumahtangga dan amat cenderung pada fasakh.
 
Banyak kali pentadbiran PAS dan keputusan pimpinan parti itu, terutama Presidennya, “didedahkan” sebagai kurang peka dan bersikap berdolak dalik dalam kepimpinannya termasuk bersabit isu bekerjasama dengan Umno. 
 
Lantas pada 23 April lalu, Lembaga Disiplin parti pun bersuara dan menghukum Husam dipecat kerana melanggar perlembagaan parti. 
 
Namun Husam masih tidak mahu melepaskan “gigitan”nya terhadap “maruah dan wibawa” PAS. Beliau seolah-olah mahu menyatakan masih mempunyai lebih banyak peluru untuk menegakkan pendirian dan pandangannya terhadap PAS. 
 
Menjelang pilihan raya kecil parlimen (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Husam terus “menegur” PAS supaya menarik diri daripada bertanding jika enggan berunding dengan parti pembangkang lain.
 
Katanya, keengganan PAS berunding sehingga sanggup berdepan persaingan tiga penjuru dalam kedua-dua PRK berkenaan boleh menyebabkan parti itu kalah teruk termasuk mendapat undi lebih rendah daripada satu lagi parti yang tewas.
 
“Kalau berlaku tiga penjuru, PAS mesti dapat undi lebih daripada parti satu lagi. Jika ditakdirkan PAS dapat kurang undi, imej PAS akan rosak untuk tempoh yang sangat lama.
 
“Sama ada PAS berunding dengan parti-parti lain supaya berlaku satu lawan satu, atau, PAS tarik diri supaya tidak nampak teruk di mata rakyat,” katanya.
 
Akhirnya Husam mengesahkan telah mengirim surat kepada Presiden PAS meminta supaya pemecatannya daripada parti itu ditarik balik dengan alasan keputusan dibuat tidak mengikut perlembagaan parti.
 
“Saya berharap Presiden mempertimbangkan perkara ini sebelum muktamar supaya saya boleh hadir sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Kubang Kerian dan berpeluang membahaskan ucapan dasar dan mempersoalkan beberapa tindakan pemimpin parti sejak kebelakangan ini,’’ katanya.
 
Husam berkata, jika permohonannya ditolak, beliau masih berminat untuk hadir ke muktamar sebagai pemerhati.
 
Beliau dalam pada itu turut memberitahu bahawa sedang mempertimbangkan untuk mengheret beberapa individu dalam Pas ke mahkamah kerana memfitnahnya sehingga dipecat daripada parti.
 
Dalam pada menyatakan masih sayang pada PAS, Husam dilihat masih berazam untuk menghadiri muktamar PAS yang sedang berlangsung demi “melondehkan” tindakan beberapa pemimpin PAS.
 
Malah dalam semangat meluap-luapnya mahu mempersoalkan beberapa tindakan pemimpin parti, Husam juga menyelitkan amaran mahu mengheret beberapa individu ke mahkamah kerana memfitnahnya hingga dipecat. 
 
Husam tentu tahu sikap dan kenyataan sebegitu tidak disenangi oleh pimpinan parti. Selain “menggertak” individu tertentu, Husam tentu maklum ramai ahli yang kurang selesa muktamar dijadikan medan “memburukkan” PAS. 
 
Adakah Husam memilih mahu menyertai muktamar kerana semata-mata didorong oleh sikap dan rasa kasih sayang untuk “membersih dan mempertahankan” maruah dan perjuangan PAS?
 
Atau, adakah kerana sehingga setakat ini belum ada parti lain yang sudi “melamarnya” setelah diceraikan PAS? Atau, adakah Husam sebenarnya dilanda sindrom “gila talak” kerana difasakhkan oleh parti kesayangannya?
 
Kini terpulang pada muktamar PAS yang sedang berlangsung di Kelantan untuk sudi mengangkat isu dan kedudukan Husam untuk dibahaskan, atau, mengabaikan rintihannya di luar parti sebagai satu anasir orang gila talak. 
 
Buat masa ini, nampaknya aktiviti Husam sekarang ialah bergiat secara peribadi dalam gerakan Selamatkan Malaysia atau Deklarasi Rakyat yang menyokong idea yang ditaja oleh mantan perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad. 
 

Tiada ulasan: