Jumaat, 24 Jun 2016

Himpunan aman sokong pindaan Akta 355 tiada sambutan

 
Hanya 100 orang hadir menyatakan sokongan terhadap himpunan itu.


pindahaktha1


KUALA LUMPUR: Kehadiran penyokong dalam perhimpunan aman bagi menyatakan sokongan terhadap pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) hari ini tidak mendapat sambutan daripada orang ramai.

Hanya 100 orang saja yang hadir dalam perhimpunan diketuai Sekretariat Ummat yang menyokong memperkasa Akta 355.

Perhimpunan yang berlangsung selama 30 minit di depan Masjid Negara itu meminta semua umat Islam dan bukan Islam menyokong Akta 355 dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada sidang Parlimen, Oktober depan.

Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Ummat Aminuddin Yahaya berkata kehadirannya pada perhimpunan itu bagi mewakili 500 gabungan NGO Islam yang menyokong pindaan Akta 355.

Katanya, Akta 355 ini disalahertikan pelbagai pihak dan penjelasan yang menyeluruh akan dilakukan secara berperingkat selepas ini.

“Kita akan adakan jelajah untuk menerangkan pindaan Akta 355 ini. Perlu dijelaskan akta ini khusus untuk umat Islam dan seharusnya penganut agama lain tidak perlu bimbang.

“Kami juga menyarankan langkah segera perlu diambil untuk membetulkan salah tafsir dan salah faham mengenai pindaan yang dicadangkan di mata masyarakat bagi memastikan keharmonian kaum sentiasa terpelihara,” katanya.

Sebelum ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul RUU persendirian berkenaan selepas dicadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Rashid Shirlin.

Tindakan Hadi itu menyebabkan beberapa pemimpin parti komponen BN mahu meletakkan jawatan di dalam Kabinet jika undang-undang berkenaan diluluskan Dewan Rakyat.

Antara pemimpin yang membantah ialah Presiden MIC Datuk S Subramaniam, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong.

Tiada ulasan: