Jumaat, 24 Jun 2016

Henti kaitkan PAN 'ditaja' DAP, gesa Azhar

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (PAN) tidak mahu lagi dikaitkan dengan isu ditaja oleh DAP selepas berakhirnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun lalu.
 
Bekas calon PAN di PRK Sungai Besar, Azhar Abdul Syukur tidak menolak DAP banyak membantu kempennya di kawasan itu, namun itu tidak bermakna apa yang didakwa oleh pelbagai pihak, termasuk pimpinan PAS sebagai benar berlaku.
 
"Amanah (PAN) bersama-sama DAP dan PKR. Di Sekinchan memang kawasan DAP, jadi nak masuk ke sana memang mereka yang membantu di Sekinchan. 
 
"Di kawasan Melayu pula, PKR yang membantu kami. Kita bersama, bukan DAP yang taja kami. DAP bersama Amanah (PAN) dan PKR. Orang nak sebut ditaja, itu haknya, tapi memang kita sentiasa mereka DAP dan PKR.
 
"Soal mereka membantu, itu bukan tajaan. Jika DAP bertanding di kawasan Sekinchan, saya juga akan bawa calonnya di kawasan Melayu," katanya menepis dakwaan tersebut yang mula wujud sejak PAN ditubuhkan September tahun lalu.
 
PAN ditubuhkan oleh sekelompok pimpinan PAS yang tewas pada pemilihan parti pada tahun lalu, selepas menentang kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
PAN menerima pelbagai kritikan, terutamanya dari pimpinan PAS yang menuduh parti itu sebagai agenda baru DAP untuk mengenepikan politik Islam yang dibawanya selama ini.
 
Malah PAS juga menuduh PAN akan menerima nasib 'diperkudakan' DAP sebagaimana dialaminya ketika berada di dalam Pakatan Rakyat (PR) suatu masa dahulu.
 
Ujar Azhar yang mempersoalkan apa dalil yang membuktikan bahawa PAN mendapat tajaan daripada parti yang didominasi kaum Cina itu.
 
"Saya buka pejabat PAN di Sungai Besar dengan sendirinya, di mana tajaannya? Bayar deposit pun duit kami sendiri. Apa maksud tajaan? Mereka bayar kita ke?," soal Azhar sebagai respon terhadap isu tersebut.
 
Tegas Azhar, soal PAN diperkudakan tidak pernah timbul, sebaliknya ia sebagai sebuah parti yang baru semestinya memerlukan sokongan DAP dan PKR bagi berdepan dengan situasi politik semasa.
 
Sokongan itu, ujarnya amat diperlukan ketika berdepan dengan dua PRK serentak baru-baru ini supaya ia dapat menyumbang kemenangan Pakatan Harapan (PH).
 
"Amanah (PAN) perlu bersama pembangkang yang lain. Jika bersendiri, (seperti) PAS apabila satu parti yang kuat pun kalah apabila bersendiri. Masa depan Amanah (PAN) bersama gabungan pembangkang. Jika ikut keputusan baru ini, PAN mempunyai harapan yang cerah," katanya lagi. 
 
 

Tiada ulasan: