Ahad, 5 Jun 2016

HARAPAN alu-alukan kempen Dr M untuk dapat undi Melayu

MALAYSIAKINI


Pakatan Harapan (HARAPAN) mengalu-alukan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berkempen menyokong calon Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad mengakui parti itu menghadapi masalah mendapatkan undi Melayu dan oleh itu berharap bekas perdana menteri itu akan membantu memecahkan undi BN, sekaligus meraih sokongan kaum berkenaan.

"Kita alu-alukan. Masalah yang kita hadapi ialah undi Melayu kerana undi Melayu terlalu setia kepada UMNO dan BN.

"Maka nak pecah undi Melayu mungkin Dr Mahathir boleh membantu untuk membuka minda orang Melayu yang selama ini menganggap UMNO dan BN ini memang tak ada silap

salah," katanya dalam sidang media pertama AMANAH selepas penamaan calon di Sungai Besar tengah hari tadi.

Sementara itu katanya, HARAPAN memilih tema "Bebaskan Rakyat Selamatkan Malaysia" dalam kedua-dua pilihanraya kecil berkenaan.

"Malam tadi diputuskan tema PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar ini. Kita nak bebaskan rakyat daripada penindasan pemerintahan dalam isu-isu seperti GST dan isu ekonomi.

"Oleh kerana ini PRK parlimen, jadi kita kena ambil pendekatan yang lebih nasional. Kita nak bebaskan minda dan ekonomi rakyat tempatan daripada terus dikuasai dan ditindas," kata Khalid.

Sementara itu, penyokong AMANAH membina sebuah pentas sementara di atas trak, diletakkan di tepi jalan tidak jauh dari Dewan Bernam, selepas berakhir tempoh penamaan calon.

Antara yang turut memberikan ucapan ialah bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan dan Ahli Parlimen Kapar dari PKR, G Manivannan.

Ambiga berkata beliau menyokong calon AMANAH, Azhar Abdul Shukor kerana parti itu menyokong Deklarasi Rakyat.

"Saya menyokong AMANAH kerana mereka menyokong gesaan untuk membuang Najib. Saya menyokong AMANAH kerana mereka menyokong pembaharuan institusi," tambahnya.


Tiada ulasan: