Ahad, 5 Jun 2016

Hadi tak terasa dengan Azmin, PAS parti 'perkasa'

 
 
PAS tidak terasa hati dengan kehadiran Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali ketika proses penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar bagi menyokong calon AMANAH.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana partinya itu tahan lasak dan boleh berdepan dengan mana-mana parti sekali pun.

"‎PAS parti perkasa, parti yang tahan lasak, bukan parti baru. Kita akan berdepan dengan siapa pun, parti-parti baru mungkin akan terasa (tetapi tidak PAS)," katanya kepada pemberita selepas penamaan calon PRK Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak, hari ini.

Hadi berkata demikian ketika mengulas kehadiran Azmin yang juga timbalan presiden PKR pada proses penamaan calon PRK Sungai Besar hari ini bagi memberi sokongan kepada AMANAH.

Terdahulu ‎Azmin berkata parti itu akan digerakkan bagi membantu kempen Pakatan Harapan dalam dua pilihan raya kecil di parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Kata Azmin, beliau telah memberi arahan kepada jentera parti untuk turun membantu kedua-dua calon HARAPAN.‎

‎Beliau hadir ke pusat penamaan calon di Sungai Besar kira-kira jam 9 pagi dan kelihatan beramah mesra termasuk berpelukan dengan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

Azmin sebelum ini tidak hadir ketika AMANAH mengumumkan calon mereka.‎

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata Azmin dinasihatkan tidak menghadiri majlis pengumuman calon Pakatan Harapan di Sungai Besar.

Katanya, larangan itu dibuat supaya Azmin 'menjaga' kerajaan Selangor dan hubungannya dengan PAS yang masih mempunyai wakil dalam kerajaan negeri.


Tiada ulasan: