Selasa, 21 Jun 2016

Dua kes tembak dalam tempoh kurang 4 jam

SINAR HARIAN
Tembak
Gambar hiasan.


KUALA LUMPUR - Tidak sampai empat jam, dua kes tembak berlaku di dua tempat berasingan di dalam negara, masing-masing mengorbankan satu nyawa dan mencederakan dua individu.

Kedua-dua kejadian dilapor berlaku di kawasan sibuk dengan pengguna jalan raya iaitu di persimpangan lampu isyarat ketika semua mangsa berada dalam kenderaan masing-masing.

Dalam kejadian pertama kira-kira 8.30 pagi tadi di Sarawak, Setiausaha PKR Cawangan Miri, Bill Kayong, 43, ditembak ketika berada di dalam kenderaan pikap Toyota Hilux di persimpangan lampu isyarat di Lutong, Miri.

Calon PKR di kawasan Bekenu pada pilihan raya negeri 7 Mei lalu itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Dilaporkan terdapat kesan tembakan pada cermin tempat duduk pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan. 

Mengulas kejadian berkenaan, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya akan menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes berkenaan.

Pasukan itu menurutnya akan diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dev Kumar M. M Sree Shunmugam.

Manakala dalam kejadian kedua kira-kira pukul 12 tengah hari tadi di Selangor, dua lelaki warga tempatan cedera ditembak di persimpangan jalan besar Sunway Batu Caves, ketika sedang menunggu lampu isyarat.

Dalam kejadian berkenaan, kedua-dua mangsa yang memandu kenderaan berasingan, masing-masing berusia 30 dan 34 tahun cedera di bahagian pipi dan kepala. 

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, dua suspek  dipercayai terlibat yang mana hanya salah seorang daripada mereka bertindak turun daripada kereta dan melepaskan tembakan ke arah mangsa dari jarak dekat.

Suspek kes berkenaan bagaimanapun telah dikenal pasti dan sedang dikesan, katanya yang menambah bahawa motif masih disiasat. –Bernama

Tiada ulasan: