Selasa, 21 Jun 2016

Dakwaan politik wang, Tun M sudah habis modal

Tun Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto EPA


PUTRAJAYA - "Tun Mahathir (Mohamad) sudah kehilangan modal," demikian reaksi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ab Aziz Kaprawi mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri itu dalam catatan di blognya, 'Pendirian Saya'.

Mahathir mendakwa, kemenangan luar biasa BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar jelas dihasilkan dari pemberian wang dan barang-barang kepada pengundi.

Menurut Ab Aziz yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, apa yang disampaikan Mahathir sudah tidak dengar oleh rakyat.

"Pada saya beliau sudah tidak relevan. Dengan Deklarasi Rakyat, (kemudian) turun sendiri ke bawah...pun rakyat tidak lagi dengar atau menyambut apa yang disampaikannya.

"Rakyat lihat kepimpinan hari ini sudah bekerja keras untuk rakyat. Yang penting rakyat melihat Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri) berjaya urus kehidupan rakyat dalam keadaan sangat baik dan rakyat lihat gerak kerja," katanya pada sidang media selepas majlis berbuka puasa bersamanya di sini.

Dalam pada itu, mengulas soal cadangan agar Pilihan Raya Umum ke-14 yang dijangka diadakan pada 2018 itu dipercepatkan susulan kemenangan besar BN itu, Ab Aziz akui segala kemungkinan boleh berlaku.

"Daripada kedua-kedua PRK ini terbukti BN lebih bersedia daripada pembangkang. Saya tak tolak kemungkinan untuk PRU lebih awal. Kalau sepatutnya 2018 kemungkinan 2017," katanya.

Tiada ulasan: