Ahad, 5 Jun 2016

Calon dan jentera BN jangan terlalu selesa dengan krisis pembangkang

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Calon dan jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar diminta tidak terlalu selesa dan mengharapkan kemenangan hasil percakaran sesama parti pembangkang yang bertanding.
 
Sebaliknya, bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata BN perlu bersandar pada rekod cemerlang yang ditunjukkan parti itu selama ini, selain bekerja keras meraih undi dalam tempoh berkempen ini.
 
Jelas Syed Hamid, rekod perkhidmatan bekas dua ahli Parlimennya, Datuk Noriah Kasnon (Sungai Besar) dan Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad (Kuala Kangsar) berada pada tahap terbaik dan ia diakui semua pihak.
 
"Selalu kemenangan kita bukan kerana perbalahan (parti lawan), kekuatan BN bila orang terima kita pasal kita ada rekod yang bagus dan perkhidamatan yang elok, orang akan buat pilihan walaupun faktor calon sekarang memainkan peranan yang penting dalam mood yang ada masa kini," katanya kepada ditemubual secara eksklusif Antarapos.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan pertandingan tiga penjuru untuk PRK Sungai Besar membabitkan Budiman Mohd Zohdi (calon BN), Dr Rani Osman (calon PAS) dan Azhar Abdul Shukor (calon Parti Amanah Negara - PAN).
 
Sementara di Parlimen Kuala Kangsar pula menyaksikan pertandingan empat penjuru iaitu Datin Mastura Ahmad Yazid (calon BN), Dr Najihatussalehah Ahmad (calon PAS), Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (calon PAN) dan seorang calon Bebas, Izzat Bukhari Ismail Bukhari. 
 
Syed Hamid kemudiannya berkata, melihat daripada pelbagai sudut, beliau yakin calon BN di kedua-dua  kerusi Parlimen itu mampu mempertahankan kerusi itu sekaligus memenangi PRK yang akan berlangsung 18 jun depan.
 
"Pilihan raya ini semua parti berpengalaman mereka tahu macam mana nak kendalikan PRK ini. Kadang ia memihak kepada kerajaan, kadang memihak kepada pembangkang. 
 
"Tapi soalnya bukan penentu sikap sebagaimana yang dikatakan oleh Perdana Menteri yang menyebut bahawa PRK bukan satu sokongan kepada kerajaan atau bukan sokongan kepada kerajaan. 
 
"PRK ada mood tersendiri, saya fikir ia sistem yang bagus dalam demokrasi dan subur. Biarlah tiga penujuru atau lebih saya fikir kedua-dua PRK ini BN boleh menang," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: