Sabtu, 4 Jun 2016

Calon Amanah Pilihan Deklarasi Rakyat




MEMBANDINGKAN matlamat Deklarasi Rakyat Selamatkan Malaysia dengan pencalonan Pilihan Raya Kecil Sungai Besar (SB) dan Kuala Kangsar (KK) maka jelas “calon” Deklarasi Rakyat adalah calon Parti Amanah Negara (Amanah) yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Setakat ini, tiga buah parti telah mengumumkan calon untuk dua kerusi Parlimen itu – Pakatan Harapan/Amanah, PAS dan Barisan Nasional. Penamaan calon adalah pada 5 Jun dan pengundian 18 Jun.




Dua matlamat pokok Deklarasi Rakyat adalah penyingkiran (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone), Mohd Najib Abdul Razak sebagai Perdana Menteri dan mereformasikan sistem pemerintahan negara.


Tanpa penyingkiran Mohd Najib, reformasi sistem pemerintahan negara mustahil boleh dilakukan.

Azhar Abdul Shukur calon Amanah/PH Sungai Besar

Mengapa calon Amanah/PH adalah “calon” Deklarasi Rakyat? Sebab-sebabnya seperti berikut:


1.Umno/BN tidak melakukan apa-apa untuk menyingkir atau mendisiplinkan Mohd Najib. Sebaliknya bersekongkol dengan beliau dalam skandal 1MDB, “derma” RM2.6 bilion dan pengalihan haram RM42 juta duit SRC International Sdn Bhd;


2. Antara Umno dan PAS kita tak pasti lagi siapa lawan siapa. Besar kemungkinan mereka sudah berpakat di dalam kelambu.


3. Mohd Najib, Presiden PAS (Datuk Seri) Haji Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS, (Datuk) Harun Din kini berahi dalam asmara dana tiga penjuru.


4. Abdul Hadi mengaku berunding dengan “kerajaan” mengenai pembentangan Rang Undang-Undang Bukan Kerajaan (Private Member’s Bill/PMB) untuk meminda Akta (Bidang Kuasa Jenayah) Mahkamah Syariah Kelantan. “Kerajaan” dalam konteks ini adalah Mohd Najib.


5. Keutamaan Mohd Najib bukan menjaga kepentingan dan perasaan ahli dan penyokong Umno, tetapi mengambil hati Abdul Hadi dan Harun kerana dihantui kemungkinan dipecat melalui akuan berkanun oleh ahli Dewan Rakyat.

Dr Ahmad Termizi Ramli calon Amanah/PH Kuala Kangsar


6. Antara hilang undi dan hilang jawatan, Mohd Najib lebih rela memperjudikan undi PRK SB dan KK.


7. Mohd Najib percaya sebarang kemarahan pengundi Umno/BN kerana bersekongkol dengan Abdul Hadi dan Harun boleh diubati oleh penawar “cash is king.”


8. Abdul Hadi pula tergesa-gesa membentangkan PMB berkaitan Hudud dalam percubaan mengambil hati ahli dan penyokong PAS yang sedang digoda “imannya” oleh Amanah.

9. Umno/BN dan PAS sudah tidak pedulikan undi Cina dan India lagi. Mereka sudah mengaku kalah kepada DAP dan PH.

10. Peranan wakil Cina dan India dalam BN sudah diturunkan ke taraf penghibur lara saja. Apa yang mereka kata dan lakukan – termasuk ancaman keluar Barisan – tidak dipedulikan lagi. Mereka sekadar penggenap bilangan dan makan gaji.


Kesimpulannya, calon Amanah yang mewakili Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah adalah calon terbaik bagi penyokong Deklarasi Rakyat.


Peserta Deklarasi Rakyat boleh berkempen bagi pihak calon Amanah/PH.
Walaupun jalan di hadapan adalah mencabar bagi peserta dan penyokong Deklarasi Rakyat, namun apa yang mereka pamerkan sejak 4 Mac lalu memberi harapan baru kepada rakyat jelata yang ditindas akibat penyalahgunaan kuasa dan ketidakcekapan kerajaan Mohd Najib.


Wallahuaklam.


Tiada ulasan: