Khamis, 2 Jun 2016

Bukan pembangkang yang buat rakyat Perak derita kerana GST

Howard_Lee

oleh Fatih Hassan Nordin
IPOH: Dakwaan Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali bahawa rakyat negeri Perak suatu ketika dahulu mengalami penderitaan kononnya akibat daripada pemerintahan pakatan pembangkang, dibidas Sosialis Muda DAP (Dapsy) Perak.

Ketuanya Howard Lee Chuan How berkata, tohmahan seumpama itu menonjolkan kegagalan Tajol melihat masalah rakyat daripada perspektif nasional selain sikap tidak peduli beliau terhadap dasar-dasar membebankan rakyat yang dilulus dan dipertahankan kerajaan Barisan Nasional.

“Kenyataan beliau begitu jelas menonjolkan betapa ‘out of touch‘ sesetengah pemimpin politik UMNO-BN. 

“(Cukai) GST yang benar-benar menderitakan rakyat dilaksanakan oleh siapa? 

“Peningkatan kos sara hidup yang mendadak akibat pelaksanaan GST itu berlaku di bawah pemerintahan parti mana?” katanya kepada Roketkini.com.

Sehubungan itu, Howard yang juga Adun Pasir Pinji menasihati pemimpin-pemimpin negara, terutamanya daripada UMNO-BN supaya lebih berhati-hati dan tidak mengeluarkan kenyataan ‘separuh masak’ seperti itu.

“Sebagai seorang mantan menteri besar dan orang lama dalam politik, nak retorik pun biarlah benar dan berdasarkan fakta. Jangan sampai meludah ke langit, muka sendiri yang kena,” ujarnya.

“Kami menghormati sesiapa yang telah menyumbang kepada negeri dan negara. Tetapi, jika kurang tahu dan faham keadaan semasa, mungkin kerana telah terlalu lama berada dalam kalangan puak elit dan kelas atasan, janganlah memalukan diri dengan kenyataan yang mengelirukan seperti itu,” tambahnya.

Baru-baru ini, Tajol dalam satu majlis di Kuala Kangsar dilaporkan sebagai berkata bahawa sepanjang tempoh 11 bulan Pakatan Rakyat memerintah negeri Perak, rakyat telah mengalami penderitaan ekoran salah faham yang berlaku dalam pakatan pembangkang berkenaan.

Tuduhan yang dibuat secara rambang itu tidak pula menjelaskan langsung apakah penderitaan yang beliau maksudkan. – Roketkini.com


Tiada ulasan: