Sabtu, 4 Jun 2016

Bonus raya penjawat awam belum pasti

FREE MALAYSIA TODAY


Nafi laporan di laman sosial kononnya kerajaan akan membayar imbuhan RM500 kepada kakitangan awam dan pesara menjelang Aidilfitri.


Siregar-ringgit-malaysia


PASIR PUTEH: Kerajaan belum membuat keputusan berhubung imbuhan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan sebagai persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri awal Julai depan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata kerajaan sedang meneliti pelbagai aspek terutama kedudukan kewangan sebelum membuat keputusan mengenainya.

“Sehingga hari ini tiada sebarang keputusan dibuat (berhubung pemberian imbuhan kepada kakitangan awam dan pesara),” katanya kepada pemberita pada majlis Program Transformasi Komuniti Bergerak Orang Kampung Selising yang dirasmikan Anggota Dewan Undangan Negeri Selising, Zulkifli Ali di sini, hari ini.

Khamis lepas Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyatakan hasrat untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan pemberian bonus raya sebulan gaji kepada 1.6 juta penjawat awam menjelang Aidilfitri ini.

Irwan berkata terserah kepada perdana menteri untuk membuat keputusan sama ada bersetuju atau tidak untuk memberi imbuhan itu berasaskan kemampuan kewangan kerajaan.
 
Beliau menafikan laporan di laman sosial terutama Facebook, yang menyatakan kononnya kerajaan bersetuju membayar imbuhan sebanyak RM500 kepada setiap kakitangan awam dan pesara menjelang Aidilfitri ini.

Dalam perkembangan lain, Irwan berkata sebuah Pusat Tranformasi Bandar (UTC) di Kota Bharu bernilai RM30 juta akan dibuka pada bulan Ramadan ini.

UTC itu, katanya mula dibina Januari lepas dan kini 95% siap dibina.

“Perdana menteri dijangka merasmikan UTC itu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak,” katanya.
-BERNAMA

Tiada ulasan: