Jumaat, 10 Jun 2016

BN perbaharui janji bina jambatan Manong

BERNAMA
 
 
Pilihan Raya Kecil Kuala KangsarPilihan Raya Kecil Kuala Kangsar


Rancangan pembinaan jambatan menghubungkan Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong merupakan berita gembira buat penduduk kawasan itu yang selama ini terpaksa menggunakan perkhidmatan bot penambang.

Jambatan itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 500 penduduk daripada 100 keluarga yang terdiri kalangan pekebun getah dan kelapa sawit di kawasan itu untuk berurusan di Pekan Manong atau untuk ke bandar Kuala Kangsar.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Penduduk Kampung Seberang Manong, Mohd Hussin Jap berkata pengumuman Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof baru-baru ini bahawa kementerian itu kini dalam proses memperhalusi permohonan projek jambatan itu memberi kelegaan kepada mereka.

"Penduduk di kawasan ini sudah lama menantikan berita gembira ini kerana ia dapat memudahkan pergerakan ke bandar Kuala Kangsar untuk melakukan pelbagai urusan," katanya kepada Bernama.

Mohd Hussin, 46, berkata bekas anggota Parlimen Kuala Kangsar Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad telah lama memperjuangkan isu jambatan itu termasuk membentangkan perkara tersebut di Dewan Rakyat dan sudah beberapa kali memohon kepada Jabatan Kerja Raya supaya menyegerakan pembinaan jambatan tersebut.

"Isu pembinaan jambatan ini juga sering kali menjadi agenda pembangkang yang menjadikan isu ini sebagai modal politik mereka untuk memburuk-burukkan kerajaan.

"Ramai penduduk kampung yang berpindah ke kawasan lain disebabkan masalah pengangkutan kerana ada ketika berlaku kecemasan seperti penduduk sakit dan mahu melahirkan anak lebih-lebih lagi pada waktu malam, memang menyusahkan penduduk kerana perjalanan ke hospital agak jauh dari sini.

"Dengan adanya jambatan itu nanti akan memendekkan masa perjalanan penduduk jika hendak ke Pekan Manong atau ke bandar Kuala Kangsar. Sekarang ini kami terpaksa menempuh perjalanan darat sejauh kira-kira 45 kilometer apabila hendak pergi kedua-dua kawasan itu," katanya.

Selain itu, Mohd Hussin berkata ketika musim tengkujuh tiba, paras air Sungai Perak akan naik dan ia menyukarkan perjalanan pelajar dan guru ke sekolah atas faktor keselamatan.

Sementara itu, Junaida Ramli, 43, seorang penduduk Kampung Seberang Manong berkata beliau sudah lama mengharapkan pembinaan jambatan itu.

"Kalau naik bot penambang memang tak lama dan tambangnya pun tak mahal tetapi agak bahaya.
Tambahan pula saya mempunyai dua anak orang kurang upaya yang bersekolah khas di Pekan Manong, selalu risau mengenai keselamatan mereka berdua.

"Alhamdulillah, lega hati kami penduduk Kampung Seberang Manong bila dapat tahu jambatan itu bakal dibina akhirnya kerana memang dah lama kami tunggu jambatan itu," katanya yang bekerja sebagai buruh ladang di kampung berkenaan.

Senada dengan Junaida ialah Jamilah Mat Darus, 63, yang berkata hampir setiap hari beliau menggunakan perkhidmatan bot penambang sejak 20 tahun lalu sebagai pengangkutan utama untuk melakukan aktiviti harian.
"Saya harap jambatan baharu itu cepat-cepatlah dibina, sekurang-kurangnya jambatan itu nanti memudahkan perjalanan untuk ke kawasan berhampiran. Kalau tidak terpaksa ikut jalan jauh jika mahu ke bandar Kuala Kangsar atau ke Pekan Manong," katanya.
Bot penambang yang beroperasi setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 6 petang mengenakan kadar bayaran untuk pergi dan balik sebanyak RM1 seorang dan RM2 sekiranya membawa motosikal dan perjalanan hanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk merentasi sungai berkenaan.

Fadillah ketika lawatan kerja ke Kuala Kangsar baru-baru ini berkata kementerianya kini dalam proses memperhalusi permohonan projek berkenaan dan telah memohon peruntukan daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk pembinaan jambatan itu.

Tiada ulasan: