Khamis, 30 Jun 2016

Bekas tahanan ISA dapat ganti rugi RM 5.2 juta

ANTARAPOS.COM


Post Pic



PUTRAJAYA: Lima individu mendapat sejumlah RM5.2 juta ganti rugi termasuk faedah dan kos selepas Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan kerajaan Malaysia dan dua pihak lagi gagal dalam rayuan mereka untuk mengurangkan ganti rugi ekoran kesemuanya ditahan secara salah, 15 tahun lalu.

Lima individu itu Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, Hishamuddin Rais, Saari Sungib, Badaruddin Ismail dan Dr Badrulamin Bahron.

Masing-masing ditahan secara salah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk tempoh yang berbeza.

Kelima-lima mereka akan mendapat ganti rugi dalam tempoh kira-kira setahun selepas melalui beberapa prosedur.

Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak rayuan pihak kerajaan dan memerintahkan kos RM30,000 dibayar kepada responden-responden.

Kerajaan merayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Disember 2014 yang memerintahkan bayaran ganti rugi RM10,000 sehari serta faedah lapan peratus setahun kepada pihak responden. Saman itu dikemukakan pada April 2004.


Tiada ulasan: