Jumaat, 24 Jun 2016

Bayar zakat terus kepada asnaf, ini jawapan mufti

Harussani Zakaria
Harussani Zakaria


PARIT BUNTAR - Majlis Agama Islam Negeri Perak (Maipk) sedia mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab menggerakkan kempen mendesak masyarakat Islam membayar terus zakat kepada asnaf dan tidak melalui badan itu melalui media sosial.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, mengikut hukum syarak, apabila sebuah badan khas dipertanggungjawabkan mengumpulkan zakat, maka setiap umat Islam wajib menjalankan ibadat zakat mereka kepada badan itu.

Menurutnya, ada pun terdapat kempen menyuruh masyarakat Islam membayar terus zakat kepada asnaf, dalam hukum syarak tindakan itu tidak sah kerana mereka tidak mempunyai kuasa sebagai amil bagi mengagihkan zakat terhadap lapan golongan asnaf.

"Untuk pengetahuan masyarakat, pihak majlis agama tidak akan menggunakan dana zakat terkumpul melainkan untuk diagihkan kepada lapan golongan asnaf yang dipertanggungjawabkan.

"Adalah salah pendapat mendakwa majlis agama menggunakan bahagian-bahagian asnaf itu bagi tujuan lain, sedangkan pegawai-pengawai menguruskan hal zakat hanya diberi ganjaran gaji melalui bahagian amil.

"Majlis agama tidak pernah menyentuh langsung bahagian-bahagian asnaf ditetapkan kerana kesemua harta zakat perlu diagihkan secara adil kepada mereka yang layak dan perlu menerimanya," katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian bantuan Hari Raya Aidilfitri sumbangan Maipk dan Yayasan Muhibbah Fng Ah Seng Daerah Kerian di sini.

Turut hadir Pengerusi yayasan itu, Tan Sri Dr Fng Ah Seng dan Ketua Pegawai Eksekutif Maipk, Dr Amiruddin Ahmad.

Harussani berkata, setiap hari, pegawai-pegawai Maipk bertungkus-lumus masuk ke setiap ceruk kampung di negeri ini bagi mengenal pasti orang Islam yang berhak dikategorikan sebagai asnaf.

Menurutnya, pada setiap tahun, Maipk bukan sahaja membina sebanyak 400 rumah dan tempat tinggal kepada golongan asnaf memerlukan, malah peruntukan lebih RM20 juta disalurkan melalui pemberian bantuan bulanan kepada golongan fakir miskin kurang upaya.

"Pendapatan zakat yang Maipk perolehi ketika ini sebanyak RM140 juta adalah tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan asnaf di Perak, sehinggakan kita terpaksa menggunakan pendapatan dikutip pada tahun berikutnya.

"Di sebalik itu, masih terdapat beberapa golongan asnaf berjaya keluar dari kepompong kemiskinan setelah diberi bantuan modal perniagaan dan mereka pula kini menjadi pengeluar zakat.

"Sekiranya inisiatif ini dapat dipertingkatkan, pastinya usaha mengurangkan bilangan golongan asnaf di Perak pada masa hadapan dapat dikurangkan,"katanya.

Harussani turut menegaskan Maipk tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mengqada'kan kembali zakat yang diagihkan terus kepada asnaf, dibayar semula kepada majlis agama itu.
Menurutnya, tindakan itu bahkan digalakkan memandangkan perbuatan mana-mana pihak yang melaksanakan zakat secara terus kepada asnaf adalah tidak sah.

"Saya bimbang jika masyarakat Islam terpengaruh dengan hasutan golongan tertentu  supaya zakat dibayar terus kepada asnaf dan tidak melalui Majlis Agama Islam, maka akan pincanglah masyarakat Islam,"katanya.


Tiada ulasan: