Ahad, 5 Jun 2016

Apa khabar projek MyBeras?

beras

Oleh V Sivakumar


Saya rasa amat kecewa dengan sikap kerajaan Barisan Nasional yang sekali lagi menipu golongan miskin dengan janji kosong projek MyBeras.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan bahawa lebih 200,000 keluarga miskin tegar akan mendapat bantuan 20kg beras setiap bulan ketika membentangkan Pengubahsuaian Bajet 2016 pada 28 Januari tahun ini.

Projek ini, kononya akan membantu golongan miskin tegar yang mengalami kos hidup yang semakin meningkat. Selain daripada itu, program tersebut juga berniat untuk membantu golongan yang terjejas akibat kejatuhan harga komoditi getah dan kelapa sawit serta keadaan ekonomi negara yang agak murung.

Perdana Menteri dengan bangganya mengumumkan bahawa kerajaan melalui projek ini akan menolong golongan berpendapatan rendah yang terpaksa menanggung kos hidup yang meningkat.

Ketika itu, Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mengumumkan bahawa projek ini akan bermula pada 1 Mac 2016 dan berterusan sehingga Disember 2016. Beliau juga menjanjikan bahawa beras yang akan diberikan adalah jenis ST10 dan ST15 iaitu beras bekualiti tinggi.

Bukan main kata-kata semangat beliau, “ Kita tidak mahu melihat seorang pun rakyat Malaysia kelaparan kerana tidak mampu membeli beras” Apa sudah jadi dengan janji ini? Capati?

Sehingga hari ini golongan miskin tegar masih belum menerima segenggam beras pun di bawah projek ini. Bermacam alasan diberikan oleh pihak kementerian berhubung dengan projek pemberian beras percuma ini.

“Kalau tak boleh bagi, jangan diumumkan. Ini adalah satu penipuan kepada golongan fakir miskin”. Bukankah ini juga merupakan satu perbuatan yang berdosa?

Pada mulanya Perdana Menteri mengumumkan lebih 200,000 keluaraga miskin tegar akan menerima bantuan ini. Kemudian Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani pula mengumumkan hanya kelurga yang didaftarkan di bawah e-kasih yang layak untuk mendapat MyBeras.

Beliau membuat kepastian seramai 85,401 keluarga miskin tegar yang didaftarakan di bawah e-kasih yang sebenarnya layak. Jumlah penerima yang dijanjikan pada awalnya telah dipotong separuh. Bukankah ini merupakan satu penipuan?

Tarikh yang dijanjikan ialah 1 Mac 2016. Kemudian ditangguh ke tarikh yang lain iaitu pada bulan Mei. Alasan yang diberikan oleh Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani seperti mana yang dilaporkan oleh Bernama, “Sepatutnya MyBeras sudah dilaksanakan, tetapi kita tidak mahu ia dipolitikkan sebab sekarang pilihanraya sudah hampir. Jadi kita tunggu selepas pilihanraya Sarawak”

Pilihanraya Sarawak sudah berlalu. Projek MyBeras masih tidak dapat dilaksanakan pada bulan Mei. Alasan Menteri ialah pihaknya perlu menyemak senarai penerima dengan teliti bagi memastikan hanya mereka yang layak sahaja yang menerima MyBeras.

Kemudian, tarikh baru yang dijanjikan ialah 1 Jun 2016. Peliknya, sekali lagi kerajaan telah menangguhkan tarikh pelaksanaan projek MyBeras. Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani Datuk Seri Dr Ismail Bakar telah mengumumkan bahawa projek ini ditangguhkan lagi kerana pihaknya masih belum mencari mekanisme terbaik untuk mengedarkan beras itu kepada golongan miskin tegar.

Perdana Menteri dan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani seharusnya berasa malu kerana tidak dapat menunaikan janji. Adakah ini disebabkan kerajaan tidak ada wang untuk membiayai projek yang bertujuan membantu golongan fakir miskin? Dijangka projek ini akan menelan perbelanjaan RM100 hingga RM120 juta.
 
Saya berharap kerajaan akan menepati janji kepada warga miskin sekurang-kurangnya dalam bulan Ramadhan ini. – Roketkini.com 

*Kenyataan Media Ahli Parlimen Batu Gajah & Timbalan Pengerusi DAP Perak


Tiada ulasan: