Sabtu, 4 Jun 2016

Anina mencabar pemecatan beliau daripada Umno

Bekas ahli Umno Langkawi, Anina Saadudin telah memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan yang melarang ahli daripada mencabar keputusan yang dibuat oleh parti-parti politik tidak mengikut perlembagaan.

Beliau telah menamakan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai responden.

Permohonannya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur oleh peguam beliau, Mohd Haniff Katri Abdullah.

Haniff berkata, Anina turut memohon pengisytiharan bahawa pelucutan keanggotaannya dalam parti itu diisytiharkan batal dan tidak sah.

Sebelum ini, Anina dilaporkan gagal mencabar pemecatannya itu selepas beliau memfailkan saman terhadap Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk mengembalikan RM2.6 bilion kepada parti.

Ekoran daripada itu, Anina memfailkan saman bagi mencabar pemecatannya tetapi ditolak oleh mahkamah tinggi di Kuala Lumpur dan mahkamah rayuan kerana Seksyen 18C berkenaan.

Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar pertikaian dalam parti politik.

Tiada ulasan: