Rabu, 22 Jun 2016

AMANAH lebih kuat kerana bersama PKR,DAP - Mat Sabu

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu menegaskan bahawa parti itu lebih kuat dengan kehadiran PKR dan DAP.

Beliau juga menyatakan ketidak setujuan berhubung Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mendakwa calon-calon Amanah yang bertanding dalam pilihan raya kecil baru-baru ini akan kehilangan deposit mereka tanpa sekutu parti.

"Kekuatan AMANAH terletak pada Pakatan Harapan (HARAPAN). Berseorangan, kami tidak kuat. Tetapi tidaklah sampai ke tahap hilang deposit," kata Mohamad kepada Malaysiakini.

AMANAH, kata beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, akan terus bersama Pakatan Harapan kerana percaya dengan bersendirian dalam perjuangannya, parti itu tidak dapat pergi jauh dalam arena politik negara.

"Kami akan kelihatan kuat, tetapi kita tidak akan menang dalam pilihan raya, (tetapi ) HARAPAN boleh.
"(Dan) kita hanya berumur lapan bulan, jika kita berusia dua tahun, mungkin kekuatan kita akan berbeza ," ujarnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung AMANAH, Anuar Tahir tidak faham mengapa Mohd Amar membuat kenyataan sedemikian.

"Sebelum ini, beliau kata kami gila kerana memilih warna oren, kini dia membuat kenyataan bahawa kita akan hilang deposit jika kita tidak bersama-sama dengan PKR dan DAP.

"Mengapa mesti membuat kenyataan seperti itu? Kami percaya konsep kerjasama dalam politik. Di Malaysia, tidak ada parti politik termasuk Umno, boleh bersendirian bagi mendapatkan kuasa mentadbir negara ini," tambah beliau lagi.

Tiada ulasan: