Isnin, 13 Jun 2016

'Aku bunuh polis malam ni'


'Aku bunuh polis malam ni'
Tertuduh (tengah) dikawal polis keluar dari mahkamah untuk dihantar ke Penjara Pengkalan Chepa.


KOTA BHARU – Padah melibas polis dengan pisau dan parang hingga menyebabkan cedera, seorang pembuat bata batu dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.

Hukuman terhadap tertuduh, Mohamad Khairul Nizan Shamsuddin, 26, diputuskan Majistret, Mohd Firdaus Zainal Abidin selepas tertuduh mengaku salah.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera bagi menakutkan seorang pegawai kanan polis, Khairul Azmi Juahari menggunakan pisau dan parang di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Paloh Rambai, Jalan Kota Bharu, di sini, pada jam 9.30 malam, 30 Mei lalu.

Dakwaan dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam serbuan lalu, pengadu bersama pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu menyerbu rumah tertuduh. Pengadu mendapati pintu tidak berkunci dan memperkenalkan diri serta menyatakan tujuan kedatangan pengadu.

Tertuduh bagaimanapun bertindak mengambil pisau dan parang yang berada di lantai ruang tamu dan menyerang pengadu serta anggota lain dengan melibas parang dan pisau itu sambil menjerit, “aku bunuh polis malam ni”.

Berlaku pergelutan antara pengadu dan suspek, bagaimanapun pisau dan parang berjaya dirampas. Pengadu cedera pada dua jari dan bengkak pada betis.

Hukuman diarah berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Ainun Zafirah Abd Halim.


Tiada ulasan: