Selasa, 21 Jun 2016

5 kertas siasatan Dr M: Polis tunggu AG



Polis masih menunggu maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara berhubung lima kertas siasatan ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beberapa kertas itu telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara manakala sebahagian lagi masih di peringkat perbincangan dengan pegawai-pegawai dari jabatan tersebut.

"Jadi tidak ada keputusan lagi," katanya kepada pemberita di ibu pejabat polis Bukit Aman, hari ini.

Beberapa laporan telah dibuat terhadap bekas perdana menteri itu berhubung kenyataan beliau dan tulisan dalam blognya yang antara lain menuntut peletakan jawatan oleh Datuk Seri Najib Abdul Razak selaku perdana menteri.

Pada pertengahan bulan April yang lalu, Khalid memberitahu polis telah membuka empat kertas siasatan terhadap Mahathir dan sudah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan.

"Dalam kes-kes tertentu, ucapan Dr Mahathir boleh dianggap melampaui batas kerana mengancam keselamatan dan menuduh seolah-olah tiada lagi demokrasi berparlimen di Malaysia," kata Khalid lagi.

Baru-baru ini, pakatan NGO pro BN dan Gabungan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM) turut membuat laporan polis terhadap Mahathir kerana dikatakan mendakwa bahawa ahli Umno boleh dibeli.

Presidennya, Zulkarnain Mahdar mendakwa bahawa tuduhan seperti itu adalah menjengkelkan dan berniat jahat kerana sebagai ahli Umno, mereka hanya menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada parti.

Pada awal bulan ini pula, pihak polis menyiasat Mahathir susulan kenyataan beliau bahawa Yang di-Pertuan Agong mungkin berada dalam “tahanan rumah” dengan sejumlah 37 soalan diajukan, kebanyakannya berkaitan Deklarasi Rakyat bagi menuntut pengunduran Najib.

Peguam Mahathir, Ahmad Bazlan Che Kasim memberitahu, percakapan Mahathir dirakam bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah dirakam.

Tiada ulasan: