Isnin, 27 Jun 2016

2 cedera letupan bom kereta di Sungai Golok

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
NARATHIWAT: Dua lelaki cedera ringan dalam letupan bom kereta yang meranapkan sebahagian gerai tepi jalan di Sungai Golok, Narathiwat pada kira-kira jam 6.10 pagi tadi., kata polis. 
 
Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Kong-ath Suwankham berkata, insiden pada awal pagi itu berlalu di antara Sekolah Bang Sungai Golok dan pangkalan operasi platun Task Force 33 Narathiwat di bandar berkenaan. 
 
Pasukan pemusnah bom polis peronda sempadan dan penyiasat bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan berkaitan kejadian terbabit. 
 
Menurut saksi, seorang lelaki memandu pikap Mitsubishi Triton yang berisi bom buatan sendiri berlegar di kawasan gerai tepi jalan dan meninggalkan kenderaan berkenaan di situ. 
 
Lelaki terbabit kemudiannya beredar dari tempat kejadian dengan menaiki motosikal yang ditunggang seorang lagi suspek. 
 
Empat polis peronda yang menaiki dua motosikal cuba menahan dua suspek itu tetapi berjaya melarikan diri. Beberapa minit kemudian, bom dalam pikap berkenaan meletup. 
 
Dua lelaki, Chaiwit Areekulchai, 40, dan Sakiran Muso, 19, mengalami kecederaan ringan akibat letupan bom berkenaan dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
 
Sementara itu, sembilan gerai dan pikap terbabit musnah dalam kejadian berkenaan. Kesan letupan bom turut menyebabkan tingkap kaca sekolah, sebuah hotel dan bangunan komersial berkecai. - Agensi
 
 

Tiada ulasan: