Khamis, 12 Mei 2016

Zunar umum WASABI – 'Wa Sapu Bilion'

MALAYSIAKINI




Selepas pengharaman dan siasatan polis terhadap karya-karyanya, kartunis Zunar hari ini mengumumkan penerbitan buku barunya berjudul WASABI (Wa Sapu Billion)

Buku ke-19 Zunar itu terus menyentuh pelbagai isu kontroversi dalam negara, sambil mengusik pelbagai tokoh-tokoh dalam negara.

“Buku setebal 126 muka surat ini mengandungi lebih 150 kartun-kartun yang kebanyakannya memfokus kepada isu Skandal 1MDB, derma berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi PM dan juga lawak jenaka terhadap 'idola' saya, Rosmah.

“Karektor KTN (Ketua Twitter Negara) muncul dalam setiap kartun dalam buku ini,” kata Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque dalam kenyataan.

Kebanyakan kartun dalam buku ini adalah karya koleksi yang tersiar di Internet dan media sosial pada tahun 2015 dan 2016.

Zunar meletakkan harga pasaran buku itu RM26 “untuk menandakan sejumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun perdana menteri”.

“Ia bukan sekadar nombor, tetapi sebagai peringatan bahawa kita tidak boleh berdiam diri dalam isu rasuah kerana kita yang membayar untuk rasuah mereka,” katanya.

Zunar, yang mula-mula popular dengan karyanya di majalah terkenal Gila-Gila, kini memenangi pelbagai anugerah dalam bidang kartun dan hak asasi manusia.




Tiada ulasan: