Selasa, 31 Mei 2016

Usul Hadi buka pintu buang aspek perundangan British?

 
Mereka yang menghalang usaha PAS adalah saki baki pemikiran terjajah, bidas Presiden PAS kepada semua penentangnya. 


hadi hudud


PETALING JAYA: Makalah terbaru Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seolah membayangkan matlamat parti Islam itu melalui Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2016).

“Usul ini adalah membuka pintu ke arah mengisi kemerdekaan yang kita warisi bersama daripada generasi awal yang memperjuang kemerdekaan negara,” tulis Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Harakah Daily hari ini.

“Kemerdekaan itu bukan sekadar menghalau penjajah asing keluar daripada tanah air kita, bahkan juga membuang segala peninggalan mereka, termasuklah aspek perundangan.”

“Mereka yang menghalang usaha ini adalah saki baki penjajahan pemikiran yang wajib membebaskan fikiran mereka daripadanya.”

Penghujung ‘Kerana Islam atau kerana politik?’ dilihat menyimpulkan aspirasi PAS melalui pembentangan usul Hadi yang akan dibahaskan dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.

Dalam sebahagian besar makalah itu, Hadi menjustifikasikan usulnya sebagai memberi kebebasan kepada penganut agama Islam mengamalkan ajaran agama mereka sepenuhnya.

“Masalahnya Islam yang menjadi Agama Persekutuan ini masih tidak bebas, khusus bagi penganut Islam yang sudah dihimpit dengan masalah yang wajib diselesaikan dengan Syariat Islam.”

“Maka campur tangan pihak lain terhadapnya boleh dianggap melanggar sempadan dan mahu memecah tembok perbezaan yang harmoni,” kata Hadi memberi amaran.

Khusus kepada pindaan yang diingini dalam usul yang dibentangkan 26 Mei lalu, Hadi berkata ia bertujuan menyempurnakan prasarana sistem kehakiman Islam di Malaysia.

Beliau berkata sistem sedia ada meletakkan mahkamah syariah lebih rendah daripada mahkamah sivil walhal Islam merupakan agama negara dalam Perlembagaan.

“Usul ini sekadar menaikkan taraf Mahkamah Syariah dan sebahagian daripada hukum syariat yang hukumannya dalam perkara umum, termasuk undang-undang keluarga, pusaka dan wakaf yang lebih rendah daripada mahkamah sivil paling rendah,” jelas Hadi.

“Sepatutnya pihak bukan Islam tidak perlu takut kerana ini bukan urusan mereka, ini urusan penganut Islam sahaja.”

Hadi berkata pada peringkat ini, hukuman jenayah yang disebut di bawah pindaan ini lebih banyak dalam perkara takzir (hukuman tidak dinyatakan dalam Quran atau Hadis) yang terlalu ‘ringan’.

Penganalisis Wong Chin Huat bagaimanapun berpendapat beberapa hukuman hudud yang dinyatakan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2015 boleh diaktifkan sekiranya usul Hadi diluluskan, antaranya: zina antara mereka yang tidak berkahwin (100 sebatan), menuduh zina tanpa bukti (80 sebatan), mabuk (40 – 80 sebatan), keluar agama atau menyekutukan Tuhan atau menghina Tuhan dan nabi (perampasan harta, dipenjarakan)

Tiada ulasan: