Selasa, 24 Mei 2016

Tunku Aziz Buat Laporan Polis Terhadap Dr Mahathir

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
KUALA LUMPUR: Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim membuat laporan polis terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaannya bahawa Yang di-Pertuan dan Raja-Raja Melayu telah dikenakan tahanan rumah.

Beliau berkata dakwaan bekas perdana menteri itu adalah "palsu dan jahat".

Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia itu mengambil perhatian bahawa beberapa protal berita telah melaporkan tentang perkara itu.

Katanya Dr Mahathir mendakwa tahanan rumah itu bertujuan menghalang Yang di-Pertuan Agong daripada menerima tandatangan 1.4 juta rakyat yang beliau (Dr Mahathir) dakwa telah dikumpulkan.

"Dengan menuduh kerajaan mengenakan tahanan rumah ke atas Seri Paduka, Tun Mahathir bersikap keterlaluan, melampaui batas," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, Isnin.

Beliau turut menyelar Dr Mahathir berhubung cubaannya melibatkan raja berperlembagaan dalam politik, serta politik partisan untuk kepentingannya.

Tunku Abdul Aziz berkata tindakan Dr Mahathir itu telah menimbulkan kekeliruan dan boleh menjejaskan ketenteraman dan keselamatan awam, dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap bekas perdana menteri itu. -Bernama

Tiada ulasan: