Isnin, 23 Mei 2016

TINDAKAN BETUL OLEH TUN M

shahbudindotcom


 
 
Kesediaan Tun Mahathir Mohamad untuk turun berkempen membantu calon Pakatan Harapan dalam pilihanraya kecil Parlimen Sungai Besar harus dilihat sebagai berita gembira kepada rakyat yang inginkan perubahan dan pembaharuan.

Ini juga merupakan tindakan yang betul yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri itu dalam usaha berterusannya memberi tekanan kepada Najib.

Bukankah selama ini pimpinan UMNO sendiri yang mengatakan jika ingin menumbangkan Najib agar melakukannya melalui pilihanraya?

Kini, dengan pengesahan Khairuddin Abu Hassan, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan bahawa Tun Mahathir akan turut berkempen membantu calon Pakatan Harapan di Sungai Besar, beliau sebenarnya hanya melakukan apa yang digalakkan oleh pemimpin UMNO sendiri.

Meskipun sehingga ini Khairuddin, individu yang diketahui rapat dengan bekas Perdana Menteri itu hanya mengesahkan kesediaan Tun Mahathir berkempen di Sungai Besar saja, namun adalah dipercayai beliau akan melakukan perkara yang sama juga di Kuala Kangsar nanti.

Maka, janganlah pula ada yang "melompat-lompat kepanasan"  dan menyerang Tun Mahathir dengan pelbagai ungkapan yang seolah-olah beliau tidak mengenang jasa UMNO, ingin "membunuh"  UMNO dan seumpamanya berikutan tindakannya ini.

Tun Mahathir hakikatnya hanya memilih satu lagi saluran yang sah untuk menyingkirkan Najib.

Mengalahkan BN dalam pilihanraya kecil ini, walaupun tidak mengubah kedudukan kerajaan Pusat, tetapi ia adalah mesej penolakan serta permulaan kepada mudahnya lagi untuk menjatuhkan "Pahlawan Bugis" itu.

Pengundi yang marah dengan bala 1MDB, kecewa kerana seorang Perdana Menteri tidak sepatutnya ada wang sebanyak RM2,600 juta dalam akaun peribadi di sebalik GST diperkenal dan subsidi dihapuskan, geram dengan kenaikan harga barang dan peningkatan kos hidup serta  malu kerana imej negara tercalar teruk di peringkat antarabangsa, inilah masanya untuk berganding bahu bersama Tun Mahathir untuk menghantar mesej yang lebih jelas kepada Najib.

Tambahan lagi Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah pilihanraya kecil terakhir sebelum PRU 14, maka peluang keemasan ini tidak harus dilepaskan begitu sahaja.


 

Tiada ulasan: