Rabu, 18 Mei 2016

Tiada Lagi Pembantu Rumah Tinggal Bersama Majikan

Oleh: SIRA HABIBU
 
 
 
 
PETALING JAYA: Indonesia tidak lagi akan membenarkan golongan wanita dari negara itu untuk bekerja sebagai pembantu rumah tinggal bersama majikan di luar negara bermula tahun depan.

Negara itu mahu pembantu rumah diambil kerja sebagai pekerja formal dengan waktu kerja yang ditetapkan dan tidak lagi perlu tinggal di rumah majikan selain perlu diberi cuti rehat mingguan, kata Duta Besar Indonesia, Herman Prayitno.

"Kami mahu kontrak rasmi antara pembantu rumah dan majikan. Sama seperti kontrak disediakan untuk bekerja di syarikat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media bahawa Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Republik Indonesia sedang melaksanakan Pelan Hala Tuju Pekerja Pembantu Rumah dari negara itu pada tahun depan bagi melindungi kepentingan rakyatnya.

Laporan itu memetik kerajaan Indonesia sebagai berkata langkah itu dianggap sebagai penting untuk menghentikan penyalahgunaan terhadap pembantu rumah yang tidak menerima gaji minimum, cuti dan waktu kerja tetap.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa), Jeffrey Foo berkata Indonesia perlu meneliti cara untuk meningkatkan kemahiran pekerja bagi membolehkan pembantu rumah dari negara itu bekerja sebagai penjaga khusus atau pengasuh terlatih.

"Kemudian, mereka pasti akan dapat menarik bayaran gaji lumayan melebihi RM1,000," katanya.

Foo juga berkata peratusan pembantu rumah telah menurun dengan ketara sejak tujuh tahun lepas.

"Kami pernah mempunyai 300,000 pembantu rumah berdaftar kira-kira enam atau tujuh tahun lalu dan 80 peratus daripadanya adalah warga Indonesia.

"Kini jumlah pembantu rumah telah merosot sebanyak lebih kurang 200,000 dengan 50,000 adalah warga Indonesia," katanya.

Tiada ulasan: