Selasa, 10 Mei 2016

Tarikh PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar diketahui 13 Mei

 
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah memaklumkan kekosongan di kedua-dua kerusi itu kepada SPR.


pandikar


PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat ini bagi menetapkan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Menurut laporan BERNAMA, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah memaklumkan kekosongan dua kerusi itu kepada SPR.

Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong, selepas wakil rakyatnya yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak, Khamis lalu.

Tragedi itu turut meragut nyawa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; suami Noriah, Asmuni Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dr Sundaran Annamalai; pengawal peribadi Noriah, Konstabel Ahmad Sobri Harun dan juruterbang warga Filipina, Rudolf Rex Ragas.

Allahyarhamah Noriah ialah Ahli Parlimen Sungai Besar sejak 2008, selepas mengalahkan calon PAS, Osman Sabran dengan majoriti 5,009 undi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan Mohamed Salleh Husin (PAS) dengan majoriti 399 undi pada PRU 2013.

Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar pula menundukkan calon PAS, Khalil Idham Abdullah dan calon Bebas, Kamilia Ibrahim dengan majoriti 1,082 undi pada PRU lalu.

Tiada ulasan: