Sabtu, 21 Mei 2016

Tak hormat ulama antara sebab ahli terkeluar PAS, kata Nik Abduh

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic


KUALA LUMPUR: Hilang hormat kepada ulama antara sebab ahli PAS keluar atau dikeluarkan daripada parti, demikian kata ketua pemudanya, Nik Abduh Nik Aziz.

Katanya, golongan ini juga hanya memilih ulama tertentu untuk dihormati atau dibenci.

"Antara sebab bahawa orang yang keluar daripada PAS dalam krisis terakhir ini yang saya yakin dan kenal orang ini dan saya anggap mereka abang adalah kerana hilangnya penghormatan mereka kepada para ulama.

"Mereka hormat hanya ulama yang mereka hendak hormat sahaja dan mereka benci ulama yang mereka hendak benci," katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Muktamar PAS Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Katanya, ada pemimpin yang pernah diangkat sebelum ini dan mengajar istiqamah dalam perjuangan, akhirnya keluar daripada PAS dan berjuang separuh jalan.

Baru-baru ini, bekas naib presiden, Datuk Husam Musa dilucutkan keahliannya daripada PAS atas tindakannya yang lantang mengkritik Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sebelum ini, sekumpulan bekas pimpinan PAS yang kecewa pada pemilihan PAS pada 2013 keluar daripada PAS dan menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN).


Tiada ulasan: