MSO
Hari ini kepala pemerhati politik belum habis berputar dan pening-pening
memikirkan gelagat parti pembangkang untuk menghadapi dua pilihan raya
kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang masih belum muktamad dan
tuntas untuk sepakat, tiba tiba mereka disua atau tersua pula dengan
surat Anwar Ibrahim yang memberi peringatan kepada gerakan Deklarasi
Rakyat yang digerakkan oleh Dr Mahathir Mohamad.
Di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, pembangkang masih "berkekah" sesama
sendiri. Kemunafikan politik jelas berlaku di situ dalam kalangan parti
pembangkang. Satu masa mereka sikeras untuk menumbangkan BN dan Najib
Razak yang kononnya cemar dengan pelbagai skandal dan membawa najis
kepada negara, tetapi di masa lain mereka bergerak seakan untuk
menyelamatkan kerusi BN itu.
Semacam ada sandiwara di situ? Kerana kalau mereka
tulus dan ikhlas pasti pilihan raya itu akan dihadapi secara maufakat
dan semua lubang dan retak untuk membolehkan BN lolos ditutup rapat.
Apabila berlaku pertandingan, tiga atau empat penjuru menjadi banyak
lubang dan lompong ini memberi kelebihan kepada BN.
Itu yang dikatakan politik pembangkang bukan ada kelas dan standard
tersendiri, tetapi jelas penuh hipokrasi dan oportunis. Ia membingungkan
kemudian meloyakan orang awam memikirkan cara pembangkang berpolitik.
Apa yang berlaku itu juga menebalkan keraguan orang ramai kepada
pembangkang untuk mara dan diharap mengambil alih Putrajaya. Benarlah
gelaran atau tuduhan pihak BN selama ini yang pembangkang tidur sebantal
tetapi punyai mimpi berlainan. Apa yang terjadi dalam pembangkang bukan
satu dakyah tetapi realiti. Mereka tidak dapat duduk sebakul melainkan
jadi seperti ketam yang saling ingin "merukas" belakang antara satu sama
lain untuk memerdekakan nafsu masing-masing.
Di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, sekiranya pembangkang gagal mencari
jalan damai akhirnya menyebabakn BN menang besar, ini memberi kesan
buruk kepada parti pembangkang di masa akan datang. Kepayahan
pembangkang untuk bersatu dan maufakat akan dijadikan alasan kenapa
parti pembangkang tidak boleh diharap mengganti BN dan orang akan muak
kepadanya.
Keadaan yang memberi kesan buruk kepada pembangkang di dua pilihan raya
itu, jadi semakin mencelarukan fikiran lagi apabila tersebar pula surat
daripada Anwar Ibrahim yang memberi peringatan kepada rakan-rakannya
supaya berhati-hati dengan agenda Dr Mahathir Mohamad menggerakkan
Deklarasi Rakyat. Dalam surat itu Anwar cuba menjustifikasikan pandangan
dan penerimaannya terhadap gerakan itu, tetapi mesej utamanya agar
menolak gerakan Dr Mahathir itu.
Anwar tetap dengan agenda asalnya, reformasi menjatuhkan BN, menukar
kerajaan yang ada kini. Walaupun deklarasi rakyat itu membantu proses
berkenaan, tetapi bagi Anwar ia bukan putih kerana Dr Mahathir menyelit
malahan menjadikan intipati untuk kepentingan politiknya. Saya tidak
pasti apakah surat Anwar itu ditulis sebelum Dr Mahathir mengatakan
Anwar tidak layak jadi PM kerana sudah tua dan tidak bermoral atau
sebelumnya?
Tidak dapat ditusuk selindung Dr Mahathir mahu mencapai cita-cita
politiknya. Bagi Dr Mahathir dia tidak mahu menumbangkan BN, sebaliknya
yang perlu digugurkan Najib. Dr Mahathir masih mahu menggunakan BN
sebagai wadah atau tangganya untuk menaikkan anaknya. Itu sahaja dan
agenda itu jelas. Manakala bagi Anwar pula yang perlu digugurkan bukan
Najib, tetapi BN sekaligus.
Saya rasa semua orang tahu dan dapat baca politik Dr Mahathir. Makanya
ia perlu bijak. Dalam konteks usaha Dr Mahathir untuk menjatuhkan Najib
itu seharusnya diambil kesempatan bijak oleh pembangkang dan juga
pendokong Anwar. Dalam hal ini saya membuat ibarat Dr Mahathir sebagai
sang buaya yang boleh digunakan untuk menyeberang sungai. Naiklah ke
atas belakang buaya itu asalkan kita boleh seberang ke sana. Dalam pada
itu harus waspada dan tahu menjinakkannya kerana ia haiwan yang ganas
dan merbahaya.
Dengan apa yang berlaku kini, perkembangan politik kini membentuk tiga
keadaan. Mahathir mahu Najib turun dan Umno terus hidup. Anwar pula mahu
Najib turun, dan kerajaan BN juga diganti dengan kerajaan baharu. Di
samping itu beliau dikeluarkan daripada penjara. Bagi peribadi Anwar dan
orang-orang yang kasih dengannya jika ditawarkan tiga perkara itu,
mereka tentu akan memilih pembebasan Anwar dahulu daripada yang lain.
Kerana kedua-dua (Mahathir dan Anwar) ada kepentingan maka tidak mungkin
akan berlaku penyatuan dan kerjasama erat yang ikhlas. Masing-masing
ada agenda tersendiri. Dalam usaha mencapai hajat masing-masing,
masing-masing ada melakukan kesilapan. Tanpa disedari dengan
perkembangan terkini kedua mereka masih berperang dan menyerang.
Misalnya surat Anwar itu keadaanya sama dengan Deklarasi Rakyat yang
dianggap memecah-mecilkan Harapan Rakyat. Surat Anwar juga menimbulkan
kekeliruan baharu mengenai penerimaan Anwar. Saya sendiri baharu
memahami kenapa gerakan itu tidak disertai oleh orang-orang tertentu,
keran ia sudah ada mesej awal dari Anwar. Paling menyedihkan sampai
dianjurkan debat mengenai deklarasi itu kononnya mencari kebenaran.
Surat Anwar itu menjadi persoalan dan diterjemahkan mengikut rasa
masing-masing walaupun ia membawa mesej tersendiri. Sebab ia berrsifat
subjektif. Yang boleh dipertikaikan kenapa mesej itu tidak disampaikan
serentak. Kenapa harus berselindung. Jelas bukan semua pemimpin PKR
menerima mesej daripada Anwar itu. Penjelasan dan penafian Shamsul
Iskandar Md Akin mengatakan surat itu sebagai palsu, manakala Rafizi
Ramli pula mengesahkan ia sebagai benar menjelaskan bahawa surat itu
tidak disampaikan secara adil. Kenapa? Maklumat atau mesej diberikan
"beratahan" dalam PKR sendiri.
Apabila dilihat kedua-dua mereka mewakili kumpulan tertentu dalam PKR,
seolah-olah surat itu disembunyikan dan ia tidak terbuka. Adakah tujuan
dan maksud Anwar dalam hal ini. Adakah beliau tidak mempercayai atau
meragui kesetiaan mereka yang bersama Dr Mahathir dan sebaliknya?
Situasi sebgini seharusnya tidak berlaku.
Dalam pada itu saya ada maklum lain yang mungkn ada kaitan dengan surat
Anwar atau sikap Anwar itu. Apabila membaca surat itu ia memberi
gambaran, seolah-olah Anwar tidak mahu Najib diturunkan. Di sini ada
hubungkait atau berita yang saya dengar. Anwar ditawarkan pembebasan
awal daripada sepatutnya? Apakah bagi merealisasikan itu maka Najib
tidak perlu diturunkan dahulu.
Apakah janji "luhur" yang dibuat kepada Anwar yang saya dengar ini
menyebabkan Anwar menulis surat demikian yang membawa dua mesej berbeza.
Tampak surat itu sangat berwaspada, tetapi ia kurang bijak dalam usaha
merapatkan saf perjuangan. Surat sedemikian kalau cara edarannya tidak
sekata dan menyeluruh, ia satu yang tidak baik bahkan boleh menimbulkan
kekeliruan. Sebab itu saya namakan surat itu sebagai surat politik.
Apakah Anwar mengambil sikap begitu, bimbang dan prejudis dengan Dr
Mahathir kerana mempercayai apa yang dijanjikan kepadanya. Benar atau
tidak apa yang terlatas ke telinga saya kononnya Anwar akan diberi
pengampunan bagi memboleh beliau dialam penjara hanya dua tahun sahaja.
Apa yang berlaku kepada Khir Toyo menjadi precedent. Ertinya tahun
hadapan beliau akan dibebaskan?
Apakah Anwar berharap dan percaya kepada janji berkenaan? Kalau inilah
sebabnya maka surat sedemikian beredar, kononnya ia suatu justifikasi
kepada Deklarasi Rakyat, maka ia sesuatu yang malang. Bukan sahaja orang
diluar tidak konsisten dan keliru dengan pegangan politik, tetapi Anwar
sendiri juga tidak pasti dan seakan menjadi salah fikir dan salah
tafsir.
Surat Anwar itu sebagai amanat kepada pemimpin PKR itulah intipati dan
iktibar boleh diambil, tetapi dari sudut lain ia juga ada elemen-elemen
politik yang Anwar sendiri tidak dapat bersikap tegas dan beliau juga
samar dengan apa yang hendak dilakukan. Surat itu kini sudah beredar dan
mesejnya sudah dibaca dengan berbagai tafsiran dan makna. Apa yang
boleh dilakukan, tidak dinafikan ada pihak yang terkilan dengan surat
berkenaan. Surat itu akan meluaskan tuduh menuduh antara satu sama lain,
natijahnya meretakkan hubungan sesama sendiri.
Apapun yang kita harap dan doakan semoga imbuhan yang diharapkan dengan
sikap dan pendirian Anwar ambil itu menjadi kenyataan dan bukan hanya
omong kosong sahaja. Janji itu janganlah palsu seperti beberapa kejadian
sebelum ini. Diharap ia tidak seperti menyuapkan buah epal plastik
kepada orang sedang kemaruk makan selepas demam panjang. Kesian..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan