Rabu, 18 Mei 2016

Surat Anwar sahkan PKR retak menunggu belah - Aidit Ghazali

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Penganalisis politik Datuk Aidit Ghazali menyifatkan surat yang ditulis Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dari dalam penjara mencerminkan parti itu kini di ambang perpecahan.
 
Surat tujuh muka surat itu pada Aidit jelas membayangkan keresahan dan kekecewaan Anwar terhadap segelintir pemimpin PKR yang terlalu mengagungkan Deklarasi Rakyat, cetusan bekas majikannya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
"Surat ini menggambarkan perkara yang lebih besar daripada Anwar Ibrahim atau Tun Mahathir Mohamad, isu ianya adalah PKR sudah berpecah. Retak nak menunggu belah sahaja. 
 
"Ini adalah perkara yang kita jelas dapat lihat bahawa (Datuk Seri) Azmin Ali satu pihak, (Datuk Seri) Dr. Wan Azizah satu pihak dan mungkin ada pihak ketiga yang setakat ini diam sahaja tunggu masa untuk kedua-dua pihak ini bertelagah dan hancur barulah mereka akan timbul," katanya kepada Antarapos.
 
Anwar sebelum ini mempersoalkan hala tuju Deklarasi Rakyat yang padanya tidak melibatkan rakyat secara terus. 
 
Ujarnya deklarasi itu tidak akan kemana jika tidak memperjuangkan suara rakyat.
 
Anwar kemudiannya mengingatkan betapa kemungkinan pimpinan PKR dimanipulasi Mahathir dan bekas Menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin yang terdesak mahu menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, melalui deklarasi itu.
 
Namun mesej yang cuba disampaikan Anwar tidak diendahkan segelintir pimpinan PKR dan mereka  terus 'bersama' dengan deklarasi tersebut.
 
Mengulas lanjut, Aidit berkata, surat nukilan Anwar itu mungkin mampu merapatkan saf kepimpinan PKR tetapi luahan perasaan berkenaan juga mempercepatkan pecah belah dalam kalangan pemimpin parti itu.
 
"Anwar Ibrahim masa tulis surat ini mungkin dia sedar atau tidak, ia sebenarnya bukan bawa kepada kesedaran orang PKR berwaspada terhadap Mahathir, tetapi apa yang dia telah mulakan ialah mempercepatkan kehancuran PKR.
 
"Ibarat api dalam sekam tiba-tiba ditiupkan angin dan sebenarnya implikasi besarnya ialah permulaan kepada perpecahan PKR," ujarnya.
 
Awal Mac lalu, Mahathir dan pembangkang menandatangani Deklarasi Rakyat bagi menuntut perdana menteri berundur.  
 
Turut sama menandatanganinya termasuklah bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.
 
 

Tiada ulasan: