Jumaat, 20 Mei 2016

Siasatan PAC terhadap 1MDB: Surat Bank Negara dijadikan alasan tak dedah laporan tapi tak boleh ditunjuk kepada anggota PAC

tonypuapac

Roketkini.com.


KUALA LUMPUR: Sudahlah surat Timbalan Gabenor Bank Negara bertarikh 6 April lalu tidak dimaklumkan kepada anggota-anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), hari ini ditambah pula Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin, enggan menunjukkan kandungan surat tersebut kepada Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang yang menganggotai jawatankuasa itu.

Perkara itu didedahkan dalam satu kenyataan bersama oleh Timbalan Pengerusi PAC, Dr Tan Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong,, dan ahli-ahli jawatankuasa PAC di pihak pembangkang, iaitu Datuk Kamarul Baharin Abas, William Leong, Datuk Takiyuddin Hassan dan Tony Pua.

Dalam kenyataan itu, mereka mengatakan hanya sedar tentang kewujudan surat tersebut apabila itu didedahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman Said, yang menjadikan warkah itu sebagai alasan mengapa Hasan meminda laporan PAC – dengan membuang dua perenggan penting – yang telah diluluskan dalam mesyuarat PAC pada 4 April lalu.

“Kami amat terkejut apabila Azalina menyatakan dalam Parlimen bahawa Pengerusi PAC telah menerima surat itu kerana kami tidak pernah dimaklumkan oleh beliau tentangnya.

“Jadi, kami telah meminta Pengerusi PAC menunjukkannya kepada semua anggota PAC semalam. Namun, beliau enggan (berbuat demikian) walaupun surat itu ditulis kepadanya (oleh Bank Negara) bagi pihak seluruh jawatankuasa,” kata mereka.

Hasan sebelum ini telah menyunting dan memotong dua perenggan laporan PAC berhubung skandal syarikat milik Kementerian Kewangan, 1MDB, tanpa persetujuan dan rundingan dengan anggota-anggota PAC.

Dua perenggan itu mengandungi penjelasan Bank Negara kepada PAC bahawa Good Star Limited – penerima dana US$1.03 bilion daripada 1MDB untuk pelaburannya (Good Star) dengan PetroSaudi International Limited – adalah “sebuah syarikat yang dimiliki seorang individu yang tidak mempunyai kaitan dengan PetroSaudi International”.

“Keengganan Datuk Hasan menunjukkan surat itu kepada anggota-anggota PAC merupakan kali pertama dalam sejarah. Belum pernah lagi Pengerusi PAC enggan berkongsi maklumat yang diterimanya dengan anggota jawatankuasa.

“Tindakan itu adalah satu penghinaan kepada  semua ahli PAC yang dilantik oleh Parlimen.

“Ia juga menimbulkan rasa curiga sama ada beliau sengaja menyembunyikan surat tersebut supaya maklumat penting yang akan membuktikan penyelewengan antara 1MDB dan Good Star Limited tidak didedahkan,” kata wakil-wakil pembangkang dalam PAC itu lagi.

Sehubungan itu, mereka menegaskan bahawa jika tidak ada apa-apa yang cuba disembunyikan oleh Hasan, beliau mestilah menunjukkan surat tersebut kepada semua anggota PAC dengan serta-merta kerana ia penting bagi merungkai skandal 1MDB yang semakin parah. – Roketkini.com.


Tiada ulasan: