Rabu, 25 Mei 2016

SIAPA YANG NAJIB NAK KELENTONG ATAU INI PETANDA TIADA SIAPA AKAN DIDAKWA BERKAITAN 1MDB?

shahbudindotcom


 
 
Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar berhubung tindakan yang diambil kerajaan terhadap pengurusan 1MDB selepas laporan PAC dibentangkan di Parlimen, Najib Razak memberitahu, tidak berlaku sebarang penyelewengan dan kecelaruan dalam akaun dan urus tadbir syarikat pelaburan tersebut.

Sebaliknya, hanya terdapat kelemahan dalam urus tadbir syarikat, kata Najib lagi.

Biar betul jawapan Najib di Parlimen ini?

Benarkah semua yang berlaku dalam 1MDB hanya kelemahan dalam urus tadbir syarikat dan bukannya penyelewengan?

Bolehkah diterima akal bahawa  berlakunya pembayaran sebanyak AS$3.51 bilion atau RM14,000 juta kepada syarikat klon, Aabar Investment PJS Ltd (didaftarkan di British Virgin Island) yang mempunyai nama hampir sama dengan anak syarikat IPIC yang sebenar iaitu Aabar Investment PJS (didaftar di Abu Dhabi), semata-mata suatu kelemahan dalam urus tadbir?

Jika jumlah yang tersalah bayar itu hanya RM3.51 sen, barangkali masuk akal juga jika dikatakan sekadar kelemahan dalam urus tadbir syarikat dan bukannya penyelewengan, tetapi bagaimana dengan amaun sebesar AS$3,510 juta atau bersamaan RM14,000 juta?

Begitu juga dengan pembayaran sebanyak AS$1.03 bilion kepada Good Star Ltd yang dipercayai milik Jho Low, apakah ia kelemahan urus tadbir syarikat juga?

Bagaimana pula dengan keseluruhan pembayaran yang dibuat oleh 1MDB yang berjumlah AS$7,000 juta atau RM28,000 juta yang menurut laporan PAC tidak dapat disahkan kesahihannya?

Apakah ia hanya kelemahan urus tadbir syarikat dan bukan penyelewengan?

Sekali lagi, pembayaran yang tidak dapat disahkan itu bukannya 7 ringgit tetapi AS$7,000 juta, maka otak jenis apa yang boleh menerima ia  hanya sekadar kelemahan urus tadbir dan bukannya penyelewengan?
 
 
 
 
Selain itu, dengan sekurang-kurangnya tujuh buah negara sedang menjalankan siasatan berkaitan 1MDB di mana Switzerland serta Singapura sudah pun memulakan tindakan perundangannya, masihkah mahu dikata ia bukan penyelewengan juga?

Di dalam negara pula, kalau benar apa yang berlaku dalam 1MDB bukan suatu penyelewengan dan hanya kelemahan dalam urus tadbir, mengapa PAC turut mencadangkan agar pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap individu tertentu dalam pengurusan kanannya?

Selain itu, kenapa Laporan Audit 1MDB tidak berani didedahkan untuk tatapan umum sehingga sekarang?

Kenapa perlu diOSAkan jika segala-galanya hanya kelemahan urus tadbir?

Siapa yang Najib mahu kelentong dengan jawapannya kali ini?

Atau apakah dengan memberikan jawapan sedemikian, ia merupakan mesej daripada Najib bahawa tiada sebarang tindakan akan diambil oleh pihak berkuasa terhadap pengurusan 1MDB meskipun telah dicadangkan oleh Laporan PAC dan Ketua Audit Negara?

Meskipun dalam jawapan yang sama di Parlimen, Najib memberitahu, "Justeru Ketua Polis Negara telah memaklumkan pihak polis akan meneliti saranan PAC jika wujud sebarang elemen yang memerlukan penyiasatan dan tindakan lanjut", tetapi dengan pendirian Najib itukah yang menyebabkan sehingga sekarang nampaknya tiada apa-apa khabar berita mengenai perkembangan siasatan terhadap 1MDB? 
 
 
 

Tiada ulasan: