Isnin, 16 Mei 2016

Siapa calon BN tanding Sungai Besar?

BN
Gambar hiasan
 
 
SABAK BERNAM – Tujuh nama pemimpin Umno Sungai Besar antara yang disebut layak dipilih mewakili BN menghadapi PRK kerusi Parlimen itu.

Mereka yang dikaitkan termasuklah, Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon iaitu Muslimin Yahaya; Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi dan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos.

Tiga lagi nama lain yang mungkin dipertaruhkan untuk mempertahankan kerusi tersebut ialah Ketua Puteri Umno Sungai Besar, Widia Wati Abuzar; dua Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian, Datuk Ishak Mat Arif dan Samad Wahab serta AJK Pemuda Bahagian Sungai Besar, Mohd Imran Tamrin.

Antara pengendali media sosial yang aktif dalam memberi kupasan dan pendapat berhubung calon PRK Parlimen Sungai Besar itu ialah pemilik akaun Facebook ‘Zaki Sungib’ yang mencadangkan agar Muslimin yang juga AJK Umno Bahagian Sungai Besar dipilih sebagai calon menggantikan ‘bosnya’ itu.

Zaki yang memuat naik status dalam Facebooknya mencadangkan agar Muslimin yang menjadi orang kanan Noriah dipilih untuk bergandingan dengan Jamal selaku ketua bahagian serta Budiman selaku wakil rakyat.

“Jawatan masing-masing tu boleh dimanfaatkan sebaiknya. Biar kalah pada jawatan, tapi menang khidmat kepada rakyat,” tulisnya.

Sementara itu, pemilik akaun Facebook yang menggunakan identiti ‘Jafri Selangor’ pula meminta agar Budiman diangkat sebagai calon bagi kerusi Parlimen berkenaan.

“Jangan peningkan kepala. Pilih sahaja Budiman sebagai calon Parlimen Sungai Besar,” katanya.

Noriah yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak 5 Mei lalu telah memasuki tempoh tiga penggal menjadi Ahli Parlimen Sungai Besar sejak Pilihan Raya Umum 2004.


Tiada ulasan: