Sabtu, 28 Mei 2016

Shahrir anggap pelik Rafizi serah maklumat rasuah kepada Azizah sebelum beri kepada SPRM

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Tindakan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menyerahkan maklumat dakwaan rasuah kerajaan Selangor kepada Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebelum memberikannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disifatkan 'pelik' oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Tan Sri Shahrir Samad.
 
Katanya, dakwaan rasuah itu adalah melibatkan kerajaan negeri Selangor bukannya parti PKR dan maklumat yang diperolehi itu seharusnya terus diserahkan kepada pihak berkuasa.
 
"Saya pelik kerana jika Rafizi mempunyai butir maklumat sepatutnya serahkan kepada pihak SPRM. Kenapa hendak serahkan kepada presiden parti kerana jika dikatakan rasuah di dalam pentadbiran ianya bukan soal parti lagi kecuali apa yang dimaksudkan oleh Rafizi ialah tuduhan serangan atau tuduhan dakwaan terhadap seorang pemimpin parti PKR itu sendiri.
 
"Saya juga pelik kenapa Rafizi menganggap perkara ini macam soal dalaman parti sedangkan dituduh itu ialah pentadbiran negeri Selangor. Jadi bagi orang biasa yang membaca diikuti apa yang dilakukan oleh Rafizi ini kita tidak tahu apa permainannya yang sebenar," katanya ketika ditemui Antarapos baru-baru ini.
 
Minggu lalu Rafizi dalam satu perbualan Whatsapp yang 'terbocor' mendedahkan beliau menerima aduan bahawa wujud permintaan habuan wang dan 'perempuan' ketika berurusan dengan kerajaan negeri Selangor. 
 
Susulan itu, Rafizi menyerahkan maklumat itu kepada Azizah dan juga Biro Politik PKR bagi membuat keputusan sama ada ingin menyerahkan perkara itu kepada SPRM atau tidak.
 
Menurut Shahrir lagi, sebagai sebuah parti yang berpegang kepada agenda reformasi, PKR seharusnya perlu melakukan perubahan di negeri Selangor dahulu sebelum berhasrat ingin merampas kerajaan daripada Barisan Nasional (BN). 
 
"Matlamatnya nampak seperti hendak menubuhkan kerajaan dan menggantikan BN dalam kerajaan di Putrajaya, jadi reformasinya sepatutnya dapat dilihat awal-awal di negeri Selangor.
 
"Katakan sebagai pemimpin PKR yang menjadi menteri besar sepatutnya reformasi itu lebih dilakukan di bawah kepimpinan Azmin Ali dan jika saya bandingkan dengan bekas menteri besar yang dulu Tan Sri Khalid Ibrahim lebih banyak perubahan yang dilakukan oleh Khalid semasa pentadbiran di bawahnya berbanding Azmin Ali.
 
"Reformasi kadang-kadang dijadikan cogan kata tetapi tidak dipegang sebenarnya sebagai satu perjuangan," ujarnya.
 
Sementara itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dalam satu kenyataan Khamis berkata akan menyerahkan maklumat rasuah itu di pejabat SPRM, Putrajaya kira-kira 11.30 pagi Isnin depan. 


Tiada ulasan: