Selasa, 24 Mei 2016

Sg Besar, K Kangsar Uji Iltizam Pembangkang



DALAM tampalan 12 Mei bertajuk “Cabaran Sg Besar dan Kuala Kangsar, antara lain, saya berkata:

“Antara Sungai Besar, di mana kemenangannya kecil, dan Kuala Kangsar, di mana kemenangannya tidak besar, Mohd Najib dan anak kapal penisi Bugisnya sekali lagi dilambung badai.

Tetapi jangan terkejut kalau Pahlawan Bugis yang terkenal dengan strategi “cash is king” berjaya mengekalkan kedua-dua kerusi itu.”

Sehingga kita mengetahui kesudahan tarik tali di kalangan parti-parti pembangkang mengenai siapa yang akan bertanding, kesimpulan rambang menjurus ke arah kemenangan Umno/Barisan Nasional.

Tetapi, sekiranya muncul kesepakatan tulen di kalangan parti-parti pembangkang, Umno/BN mungkin terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada dua kerusi itu.

Pembangkang berpecah kepada tiga puak besar. Pertama Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), kedua PKR-PAS dan ketiga PAS-Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Walaupun PAS keluar Pakatan Rakyat (PR) dan menolak kerjasama dengan DAP, ia kekal dalam Kerajaan Selangor atas kehendak PKR. Ini menjadikan Selangor unik kerana diperintah oleh gabungan tiga parti di mana dua daripadanya tidak sebulu.

Sekarang dengan adanya Amanah, PAS bermusuh dengan DAP dan Amanah tetapi berpakat dengan PKR. Amanah adalah parti serpihan PAS yang terdiri daripada pemimpin bukan aliran agama yang tersingkir ketika pemilihan parti tahun 2015.

Menjelang PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar, PAS dan PKR bertelingkah kerana PAS mahu mengekalkan pegangan ke atas kedua-dua buah kerusi itu manakala PKR mahu mengambil alih kerusi Sg Besar. Dalam Pilihan Raya Umum 2013, PAS mewakili Pakatan Rakyat di kedua-dua buah kerusi itu dan kalah tipis.

Dalam perkiraan PAS harapannya menang kali ini lebih besar kerana pelbagai skandal dan masalah yang melanda Perdana Menteri (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone), Mohd Najib Abdul Razak, selepas PRU 2013.
   
Semasa PRU 2013 skandal 1MDB, derma RM2.6 bilion dan pengalihan haram RM48 juta duit SRC International Sdn Bhd belum diketahui umum.

Ekonomi pula tidak seteruk sekarang dan kos sara hidup rakyat jelata masih terkawal kerana belum ada GST dan subsidi belum ditarik balik. Itu pun prestasi Mohd Najib lebih teruk daripada Tun Abdullah dalam PRU 2008.

Mohd Najib “Sitting Duck”

 

Sekarang, dengan pelbagai skandal, kesempitan hidup rakyat jelata akibat kelembapan ekonomi, kejatuhan nilai ringgit dan kenaikan harga akibat pelaksanaan GST dan penghapusan subsidi serta perpecahan dalam Umno, 
Mohd Najib adalah “sitting duck” – itik kembara yang tunggu untuk ditembak.
Jadi tidak hairanlah kalau PAS mahu bertanding semula di kedua-dua buah kerusi itu. Ia berasa boleh menewaskan Umno/BN dengan lebih mudah.

Seperkara lagi, perkembangan ini mempunyai nilai tambahan kerana sejak akhir-akhir ini Presiden PAS, (Datuk Seri) Haji Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Amnya, (Datuk) Dr Harun Din digambarkan oleh media Umno sebagai sangat akrab dan berahi dengan Mohd Najib.

Maka timbul tanda tanya sama ada PAS benar-benar hendak melawan Umno/BN di Sg Besar dan Kuala Kangsar atau bertanding olok-olok untuk memberi kemenangan kepada calon Mohd Najib?

PKR pula berasa ia mempunyai harapan yang lebih besar untuk menumbangkan Umno/BN di Sg Besar berbanding PAS atas premis ia mengetuai kerajaan campuran Selangor dan lebih akrab dengan DAP. Faktor DAP dan undi orang Cina kritikal bagi merampas Sg Besar.

Kalau PAS kembali bertanding, pengundi Cina mungkin memboikot kerana sejak meninggalkan PR, PAS banyak membuat kenyataan yang memusuhi DAP dan bercanggah dengan aspirasi orang Cina.

Seyogia diingatkan salah satu daripada kerusi DUN Sg Besar iaitu Sekincan dimenangi DAP. Tanpa kerjasama padu DAP, harapan menumbangkan Umno/BN mungkin lebih sukar.

Kemudian fakta Deklarasi Rakyat (DR). Sg Besar dan Kuala Kangsar akan turut menjadi arena menguji implikasi Deklarasi Rakyat ke atas sentimen pengundi, khususnya penyokong Umno/BN.

Mohd Najib dan konco-konconya akan melakukan apa saja untuk memang. Ini adalah permulaan kepada perjuangan hidup mati mereka. Tidak ada beras, gandum, dedak, duit, kain batik, projek dan janji yang tidak akan mereka  taburkan untuk mengekalkan dua kerusi ini.

Tetapi kalau PAS tidak khianat dan pembangkang bersatu padu untuk tempoh PRK itu, kita mungkin menyaksikan Sg Besar dan Kuala Kangsar menjadi permulaan kepada kekalahan Umno/BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Wallahuaklam.


Tiada ulasan: