Jumaat, 13 Mei 2016

Sg Besar, K Kangsar bukan tempat eksperimen

Shakira Buang  




Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz mengingatkan kepimpinan Umno, dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan berlangsung awal Jun depan bukan lagi medan parti pemerintah itu membuat 'ujian'.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata kenyataan itu dibuat kerana segala keputusan mahu pun calon yang akan ditampilkan BN pada dua PRK itu akan memberi kesan langsung kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Ini bukan masanya untuk kita buat ujian. Walaupun BN menang dengan majoriti besar di Sarawak yang diketua (Tan Sri) Adenan Satem, itu adalah ujian buat beliau.

"Tetapi dalam dua pilihan raya (kecil) akan datang ini adalah ujian Najib kerana ia adalah kerusi parlimen.

"Apa yang berlaku dalam pilihan raya kecil akan beri kesan kepada Najib. Ini pilihan raya parlimen, semua tentang Najib sebagai perdana penteri dan presiden BN."

"Jadi, kita kena lebih berhati-hati," kata Nazri di sidang media selepas membuat lawatan ke Pasar Seni di Kuala Lumpur hari ini.

Suka calon dikenali

Justeru, kata Nazri penting bagi BN memperoleh kejayaan besar dalam dua PRK itu kerana ia sekali gus akan mencerminkan penerimaan orang ramai terhadap perdana menteri.

Oleh itu, katanya, pemilihan calon bagi kedua-dua kawasan itu tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya harus mengutamakan calon tempatan.

Perkara itu ditekankan, kata Nazri, kerana telah terbukti berkali-kali calon tempatan lebih disukai penduduk kawasan setempat.

"Ini bukan masa untuk buat percubaan (eksperimen) sama ada kita boleh meletakkan orang luar sebagai calon (atau tidak). Umno sangat berpengaruh di kawasan luar bandar terutamanya di kalangan orang Melayu yang lebih suka mempunyai seorang wakil yang mereka sudah kenal.

"Calon BN yang bertanding pada pilihan raya umum lepas, daripada ahli parlimen kepada ADUN, semua penduduk tempatan di kawasan masing-masing," kata Nazri.

Beliau diminta mengulas cadangan Umno Kuala Kangsar yang mahu membawa calon luar sebagai pertaruhan mereka dalam PRK kawasan itu yang dijadual pada 18 Jun ini.

Azizah masih amatur

Tegas anggota Parlimen Padang Renggas itu penentuan calon PRK hanya boleh ditentukan presiden, timbalan, dan setiausaha agung parti itu dan bukan di peringkat cawangan mahu pun bahagian.

Keputusan itu, jelas beliau, perlu dibuat berdasarkan sentimen di akar umbi parti.

"Saya berharap para pemimpin mengambil iktibar daripada perkara ini. Perdana menteri perlu mendengar suara akar umbi. Umno perlu memastikan majoriti kali ini lebih besar daripada pilihan raya umum lalu," katanya.

PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar akan diadakan serentak pada 18 Jun ini selepas Timbalan Menteri Perusahaan, Komoditi dan Perdagangan Noriah Kasnon dan anggota Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Muhammad Khair-ril Anuar Wan Ahmad meninggal dunia dalam nahas helikopter pada 5 Mei lalu.

Sementara itu, mengulas kenyataan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa Pakatan Harapan (HARAPAN) sedar 'padang perlawanan' antara pembangkang dan kerajaan tak sekata, Nazri berkata presiden PKR itu adalah "amatur" berpolitik.

Malah, Nazri berkata beliau tidak percaya Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali tidak akan menurunkan jentera kerajaan negeri dalam PRK akan datang.

"Bolehkah dia memberi jaminan bahawa semasa PRK di Sungai Besar yang dalam Selangor, kerajaan negeri tidak akan menggunakan jentera bagi membantu calon mereka?

"Saya tidak percaya bahawa Azmin tidak akan menurunkan jenteranya. Dia (Wan Azizah) terlupa dia memerintah Selangor.

"Walaupun dia (Wan Azizah) mahu menjadi menteri besar tetapi tidak dapat, Azmin tetap (pemimpin) PKR.

"Jadi, dia tak boleh mengatakan bahawa PKR tidak akan menggunakan jentera kerajaan untuk melawan BN. Azizah adalah amatur. Sebagai ahli politik dia belum lagi menjadi pemimpin politik yang profesional," kata Nazri.


Tiada ulasan: