Isnin, 9 Mei 2016

'Saya kenal Rahman Dahlan, dia ada nombor saya,' kata Zarul


Susan Loone    

  



Pengerusi Zenith Group of Companies, Zarul Ahmad hari ini mendedahkan beliau dan Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan saling mengenali dan bersedia untuk membuat pembentangan projik jika itu yang beliau mahukan.

“Saya kenal Rahman Dahlan, beliau ada nombor saya, dan saya bersedia untuk membuat pembentangan projek jika beliau meminta,” kata Zarul semasa sidang akhbar bersama anggota EXCO Pulau Pinang, Lim Hock Seng di Komtar, hari ini.

Minggu lalu, Abdul Rahman mahu kerajaan negeri Pulau Pinang menjelaskan kos kajian feasibiliti cadangan terowong bawah laut yang dikatakan mencecah RM305 juta.

Ujar Abdul Rahman, jumlah itu adalah sekali ganda daripada perbelanjaan kerajaan negeri yang diterajui oleh DAP itu bagi program kebajikannya untuk warga emas, ibu tunggal, bayi baru lahir dan lain-lain.

Mengulas mengenai dakwaan Abdul Rahman itu, Zarul menambah, beliau akan memaklumkan kepada lembaga pengarah syarikat itu mengenai tuduhan menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu.

Zarul, yang menerajui Consortium Zenith-BUCG, firma yang dianugerahkan projek tersebut berkata, para pengarah akan memutuskan apa jua tindakan yang akan diambil berkenaan dakwaan beliau itu.

Ditanya apakah tindakan selanjutnya itu melibatkan aspek perundangan, Zarul enggan mengulas mengenainya.

Hari ini, dalam sidang akhbar yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Pulau Pinang, Lim Hock Seng menafikan kos kajian feasibiliti cadangan terowong bawah laut mencecah RM305 juta.

Lim berkata, kos sebenar kajian berkenaan yang turut melibatkan tiga lebuh raya ialah RM51.27 juta.
"Kos tersebut hanyalah 0.93 peratus daripada kos pembinaan, yang keseluruhannya berjumlah RM6.341 bilion.

"Kos kajian feasibiliti untuk tiga projek lebuh raya ialah RM31.269 juta dan terowong bawah laut RM20 juta.

“RM305 juta itu kos untuk kajian feasibiliti, kesan alam sekitar, reka bentuk terperinci manakala kos keseluruhan untuk pembinaan tiga projek lebuh raya terowong bawah tanah ialah RM6.341 bilion,” jelas Lim semasa sidang akhbarnya.

Tiada ulasan: