Khamis, 12 Mei 2016

Salleh tidak setuju pameran Zunar di luar negara

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata tindakan Zunar mengejek perdana menteri di luar negara ‘tidak betul’.


Zunar


KUALA LUMPUR: Tindakan kartunis politik Zunar memberikan tanggapan salah mengenai Malaysia menerusi pameran karyanya di luar negara adalah sesuatu yang “tidak betul”, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Mengulas mengenai isu pameran kartun Zunar yang turut memuatkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Geneva, Switzerland, Salleh berkata Zunar mengunjurkan gambaran salah terhadap apa yang berlaku dalam negara.

Salleh berkata beliau tidak bersetuju dengan tindakan Zunar mengejek perdana menteri di luar negara.

Katanya, tidak mengapa jika wujudnya perbezaan, tetapi mereka sepatutnya menyelesaikan masalah itu dalam negara dan tidak perlu membabitkan negara asing, apatah lagi Malaysia mengamalkan demokrasi.

Salleh berkata kerajaan amat bertoleransi dan menerima perbezaan pendapatan tetapi tindakan tetap diambil terhadap individu yang tidak menghormati institusi kerajaan pilihan rakyat ini.

Ketika ditanya sama ada beliau percaya Zunar mendapat sokongan “pihak tertentu”, Salleh berkata beliau percaya “mereka” bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan Najib, tetapi tidak menamakan sesiapa.

“Jika rakyat tidak setuju dengan Najib, mereka bebas memilih calon dan parti mereka,” katanya.

Beliau berkata pengkritik Najib bebas untuk tidak bersetuju, tetapi dalam berbuat demikian mereka tidak sepatutnya menjejaskan imej negara yang boleh memberi kesan terhadap reputasi ekonomi negara.

Minggu lalu, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque menerima anugerah Cartooning for Peace 2016 di Geneva.

Tiada ulasan: