Selasa, 10 Mei 2016

RM86 juta masih beku, kata bos NFC

Hafiz Yatim

 


Pengerusi National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail hari ini mendedahkan bahawa deposit tetap RM86 juta dari wang pinjaman RM250 juta syarikat itu masih dibekukan oleh mahkamah.

Beliau mempersalahkan pembekuan akaun bank di CIMB, Maybank dan Public Bank disebabkan oleh pendedahan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berhubung akaun Public Bank pada Mac 2012.

Salleh berkata demikian ketika memberi keterangan dalam saman fitnahnya terhadap Rafizi dan Mkini Dotcom Sdn Bhd.

Menjawab soalan daripada peguam Ranjit Singh yang mewakili Rafizi, Salleh berkata sebahagian tunai telah dikembalikan kepada syarikat itu selepas 7 Mac 2012.

"Deposit tetap RM86 juta kami masih dibekukan di CIMB, Maybank dan Public Bank akibat daripada kenyataan pembangkang. Pinjaman ini dibuat oleh NFC," katanya.

Ranjit: Apakah pembekuan aset itu akibat daripada pendedahan anak guam saya berhubung akaun Public Bank?

Salleh: Ya.

Ranjit: Berapa banyak dibekukan?

Salleh: RM86 juta.

Ranjit: Adakah penyitaan itu kerana beberapa pembelian kondominium termasuk di One Menerung, Bangsar?

Salleh: Tiada kaitan.

Bos NFC itu mempertahankan kenyataan bahawa Rafizi adalah punca utama bagi kerugian syarikat berkenaan dan punca masalah apabila dakwaan bahawa ia berkaitan dengan syarikat keluarga (Ketua Wanita Umno) Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

"Namun, seperti yang anda lihat, Shahrizat tidak memiliki sebarang saham dalam NFC atau syarikat-syarikat lain. Itulah bagaimana kemudaratan pelanggan anda (kepada kami)," katanya.

Ranjit: Adakah anda bersetuju bahawa projek NFC itu sendiri menerima kritikan serius daripada BN dan pembangkang?

Salleh: Hanya pembangkang.

Ranjit: Sesetengah anggota kanan BN begitu kritikal termasuk Datuk Bung Moktar (Raden) dan Tun Dr Mahathir Mohamad, bersama-sama dengan Datuk Seri Ghapur Salleh (MP Kinabatangan), (Ketua Umno Bahagian Cheras) Datuk Syed Ali Syed Al Habshi dan Datuk Kamilia (Ibrahim) (bekas timbalan Shahrizat ).

Salleh: Ia hanya apabila pembangkang membangkitkan geran RM73.6 juta dan mengaitkannya dengan isteri saya dengan berkata bahawa ia adalah syarikat keluarga Shahrizat. Mereka terus menyerang Shahrizat. Ini bukan mengenai isteri saya. Perniagaan ini milik syarikat saya dan keluarga saya.

Saya jelaskan kepada Mahathir bahawa Shahrizat tidak ada kena mengena dan dia menerimanya dan tidak membuat ulasan lanjut. Syed Ali kemudian meminta maaf. Jika Rafizi mahu serang saya, serang saya hari ini.

Ranjit: Jika anda lihat komen yang dibuat oleh Syed Ali, Bung Moktar, Rafidah Aziz dan Kamilia, semua mereka mengkritik isu NFC.

Salleh: Ini adalah manipulasi oleh anak guam anda, apa yang Ketua Audit Negara kata bukan NFC tetapi projek National Feedlot.

Ranjit: Adakah anda bersetuju bahawa kebanyakan kritikan adalah kerana dakwaan tertentu wang pinjaman kerajaan disalurkan kepada National Meatwork Livestock Corporation digunakan untuk membeli kondominium di One Menerung atau di tempat lain?

Salleh: Itu adalah bagaimana kemudaratan anak guam anda. Ramai yang telah tertipu olehnya yang mengaitkannya dengan isteri saya.

Tiada ulasan: