Jumaat, 13 Mei 2016

PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar dibuat serentak

PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar dibuat serentak
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah (kiri) mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar Perak dan Sungai Besar Selangor di ibu pejabat SPR, Putrajaya, hari ini. - Foto Bernama


PUTRAJAYA -  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan kedua Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah selepas mesyuarat khas berlangsung hari ini berkata, penamaan calon bagi kedua pilihanraya diadakan pada 5 Jun.

Beliau menambah, hari pengundian awal akan diadakan pada 14 Jun manakala hari mengundi pula ditetapkan pada 18 Jun.‎

Difahamkan, Kedua-dua PRK diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad dan Datuk Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

“SPR menetapkan pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi Parlimen Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak Kuala Kangsar.

“Bagi PRK Sungai Besar, pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi ialah di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar,” katanya menerusi sidang media di Menara SPR, di sini, hari ini.

Pilihan raya kali ini adalah yang kedua diadakan dalam bulan Ramadan di mana pilihan raya pertama berlangsung di Kuala Besut, Terengganu pada 2013.

Tiada ulasan: