Ahad, 15 Mei 2016

PRK: Pas tak akan beri kemenangan percuma

PRK: Pas tak akan beri kemenangan percuma
Tuan Ibrahim Tuan Man


BUKIT MERTAJAM - Pas tidak akan sesekali memberi kemenangan percuma kepada BN dalam PRK Kuala Kangsar dan PRK Sungai Besar.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas telah bersedia untuk menempuh kedua-dua PRK berkenaan dan yakin akan mencapai keputusan yang membanggakan.

Menurutnya, gerak kerja untuk kedua-dua PRK berkenaan telah disusun dan semua jentera dari seluruh semenanjung akan turun ke dua-dua lokasi berkenaan bagi menjalankan kempen.

"Saya sebagai orang politik malulah nak beri kemenangan percuma kepada mereka (BN) dan Pas tidak akan sesekali berbuat demikian,"katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang kali ke-36 di sini, sebentar tadi.

[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Hormati kedudukan Pas, jangan nak berebut']

Turut hadir, Pesuruhjaya Pas negeri, Fauzi Mohd Yusof dan Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Afnan Hamimi Taib Azamudden .

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa yang mahu pembangkang mempertimbangkan untuk memberi kemenangan percuma kepada BN dalam kedua-dua PRK yang akan bermula 5 Jun depan.

Annuar sebelum ini berkata, BN pernah melakukan perkara yang sama di Dun Chempaka ekoran pemergian Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada tahun lalu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai senarai calon, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya telah menerima empat nama untuk PRK Sungai Besar manakala tiga nama untuk PRK Kuala Kangsar.

Menurutnya, senarai nama yang diberikan itu akan diteliti oleh Majlis Syura terlebih dahulu untuk mengesahkan kelayakan.

Katanya, selepas diteliti kesemua nama itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Pas Pusat untuk diputuskan calon yang akan bertanding pada kedua-dua PRK berkenaan.

"Setakat ini hanya itu sahaja (senarai calon) yang kami terima bagaimanapun sekiranya ada senarai nama lain kita masih boleh pertimbangkan kerana masih awal lagi sebelum menempuh PRK pada Jun depan,"katanya.

Tiada ulasan: