Rabu, 18 Mei 2016

Prihatinkah pimpinan PKR akan keresahan Anwar?

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
[ULASAN] "Saya lebih cenderung memilih tidak dilihat berpadu dengan kelompok Deklarasi Rakyat (DR), yakni dengan mula menetapkan jarak," tulis Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Sebaliknya, pesan Anwar, pimpinan PKR perlu memperhebat dan memesatkan kempen menjana perubahan, menjadi pembela rakyat yang tertekan akibat kecelaruan dan salah urus ekonomi negara.
 
Bekas Ketua Pembangkang itu berkata, pendirian itu adalah selaras dengan dasar dan gagasan PKR selama ini. 
 
"Kelompok DR, termasuk Tun Mahathir mungkin saja menyertai program tersebut tetapi perlu ketara agenda perubahan dan bukan DR,” tegasnya dalam warkah khas kepada pimpinan PKR.
 
Dalam segala keterbatasan hukuman penjara, Anwar berusaha menyedarkan PKR betapa bahayanya gerakan Deklarasi Rakyat tajaan Mahathir kepada perjuangan PKR.  
 
Lantas sasaran Anwar ialah mengingatkan betapa kemungkinan pimpinan PKR dimanipulasi oleh veteran politik seperti Mahathir dan bekas Menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin.
 
"Namun kegusaran saya adalah justeru perkembangan kini meletakkan kita di persimpangan jalan. Soal cita-cita murni, idealisme bukan lagi persoalan asasi tetapi pencak politik untuk berkuasa," tegas Anwar. 
 
Mantan Timbalan Perdana Menteri itu jelas khuatir bahawa ada di kalangan pimpinan PKR kini terkesima dengan kemilau 'palsu' yang diunjurkan oleh Deklarasi Rakyat yang menghimpun penentang Umno-BN dan Tun Mahathir. 
 
Beliau "tidak dapat mengelak daripada merasa terkejut dengan pandangan cetek yang melihat dengan kejatuhan Najib cukup untuk membawa perubahan ke arah demokrasi yang beramanah atau democratic accountability."
 
Anwar gundah dengan fokus dan sikap yang ditunjukkan oleh beberapa personaliti dalam pimpinan PKR.  Malah, ada Naib Presiden PKR sendiri cuba menafikan Anwar akan membuat teguran melalui warkahnya itu.
 
Mungkin perkembangan mutakhir dalam PKR membayangi keresahan Anwar. 
 
Azmin membelakangkan parti, serlah perbalahan dalam PKR
 
Perbalahan dalam PKR dilihat semakin ketara. Beberapa tindakan Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali kelihatan 'menggerhanakan' kepimpinan presiden. 
 
Azmin dilihat membelakangi Presiden dan Biro Politik parti dalam membuat keputusan meletakkan calon PKR menentang DAP dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak awal Mei lalu. 
 
Azmin dikatakan menulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya mengesahkan bahawa Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian telah 'diperturunkan kuasa' untuk mengeluarkan watikah melantik calon-calon PKR.
 
Tindakan itu mengabsahkan kuasa Baru Bian untuk melantik calon PKR bertanding di Mulu, Mambong, Simanggang, Ngemah, Murum, dan Batu Kitang. 
 
Walhal Azmin diutus oleh presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, menyelesaikan tuntutan akar umbi mahu calon PKR bertanding kerusi berkenaan dan mengelakkan pertembungan menentang calon-calon DAP.
 
Azmin dikatakan membuat keputusan secara unilateral. Tindakannya itu menjadi punca PKR dan DAP kalah keenam-enam kerusi berkenaan kepada BN. 
 
Azmin juga dikatakan mengambil inisiatif sendiri mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin kanan PAS supaya mengizinkan PKR bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar. 
 
Meskipun PAS tidak bersetuju, tindakan Azmin yang cuba 'menutup kelemahannya' dalam PRN Sarawak itu melanggar protokol parti kerana tidak merujuk Biro Politik yang dipengerusikan presiden. 
 
Anwar punca perpecahan PR?
 
Di samping itu, penyokong-penyokong Azmin juga secara terbuka menyebarkan pandangan bahawa punca terkuburnya Pakatan Rakyat ialah cara kepimpinan Ketua Umum PKR sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 
 
Tulisan Pegawai Dasar Sosial & Kebudayaan Pejabat Dato Menteri Besar Selangor, Hasmi Hashim yang mendakwa Anwar punca perpecahan Pakatan Rakyat kini menjadi viral dalam laman sosial. 
 
Hasmi menulis bahawa selain Umno-BN yang mahu melihat Pakatan Rakyat terkubur, ada anasir dalam Pakatan yang 'cemburu' pada Azmin sebagai menteri besar juga berkomplot membunuh kerjasama politik pembangkang itu. 
 
Hasmi menulis: "...paling mustahak apabila 'Langkah Kajang' jadi langkah paling sumbang dalam sejarah politik sejak 20 tahun lalu. Langkah Kajang juga melanggar segala prinsip demokrasi. Undi rakyat dipersenda untuk tujuan politik peribadi. 
 
"Tanpa Langkah Kajang, mungkin Pakatan Rakyat boleh lagi diselamatkan. Kebetulan sahaja Presiden Pas, Hadi Awang sudah dingin hubungannya dengan Anwar Ibrahim sejak sebelum PRU."
 
Anehnya, Azmin tidak boleh menegur atau menjarakkan diri daripada tulisan pegawainya itu apabila pendirian politik Anwar dikritik. 
 
"Anwar pula sejak sebelum PRU 2013 telah dilihat berpihak lebih-lebih kepada DAP. Itu memang gaya politik Anwar. Dia mahu lebih daripada satu kekuatan.
 
"Itu bukan perasaan Hadi sahaja, malah di dalam Keadilan sendiri merasakan perkara sama. Tidak dapat difahami, apa perlu Anwar begitu terlalu bergantung harap kepada DAP—waima lebih daripada partinya sendiri, iaitu Keadilan? 
 
"Culaan undi Cina sudah capai 80 peratus menyokong Pakatan Rakyat. Begitu juga dengan undi India. Kedua parti yang menjadi lubok kepada orang Cina dan India selama ini iaitu MCA dan MIC sudah lumpuh. Apa hendak dibimbangkan?
 
"Sayang sekali, sekali lagi, Anwar serahkan sokongan Cina kepada DAP. Kerusi yang dilihat punya pengundi Cina lebih 35-40 peratus diserahkan kepada DAP. Tidak ditandingi oleh Keadilan. Sedangkan, Keadilan punya potensi menjadi parti berbilang kaum yang jauh lebih baik,” tulis pegawai Azmin itu.
 
Azmin juga dikatakan cuba mengumpul dana untuk 'membeli pengaruh' dalam parti dan memperkenalkan pelbagai skim 'kabur' seperti Darul Ehsan Investment Group (DEIG) untuk menghadapi pemilihan dalam PKR yang kini ditangguhkan sehingga selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
 
Warkah teguran Anwar buat PKR
 
Meskipun Anwar amat berhati-hati dalam tegurannya melalui warkahnya itu, beliau tidak dapat tidak terpaksa berterus terang bahawa ada semacam tidak kena dalam saf pimpinan PKR sekarang.
 
"Kehampaan saya berikutnya justeru kelemahan lantas kegagalan menghimpun saf kepimpinan yang padu. Keupayaan dan peranan sebagai pengikat pimpinan dan kelompok juga kian terhakis. 
 
"Maka kedengaran keluhan berunsur tuduhan bahawa saya turut memihak dan terkait dengan beberapa krisis sebelumnya. 
 
"Saya cuba lakukan sebaiknya tetapi kudrat terbatas. Perseteruan sudah melampaui batas etika hingga kelihatan lebih lunak berurusan dengan musuh politik ketimbang teman seperjuangan.
 
"Pelbagai ikhtiar, pujuk rayu dari saya tidak lagi mengesankan. Pandangan dan ulasan dari rakan-rakan sebegitu penuh dengan prasangka, dan sekilas mata dapat menyelami kelompok yang diwakili. Persoalan nilai, akhlak, bahaya fitnah wajib dihindari. Maka keupayaan saya terbantut di sini," keluh Anwar.
 
Yang wajar diperhatikan apakah natijah warkah Anwar. Mampukah ia menyedar dan mempertaut kembali perpaduan dalam PKR? Atau, ini akan lebih menjarakkan lagi keretakan yang sedia ada?
 
 

Tiada ulasan: