Isnin, 16 Mei 2016

Presiden Isma bebas tuduhan hasutan

Abdullah Zaik Abdul Rahman
Abdullah Zaik Abdul Rahman


KAJANG - Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd Rahman dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan mengeluarkan kata-kata hasutan berhubung kedatangan kaum Cina dan British ke Tanah Melayu, tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Sesyen Kajang Noridah Adam sebentar tadi selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan prima facie pada akhir kes.

Bagaimanapun, Abdullah Zaik, 49, diperintah membela diri terhadap tuduhan pilihan menerbitkan artikel berbentuk hasutan di laman web.

Noridah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie pada pertuduhan pilihan.

Berdasarkan pertuduhan, Abdullah Zaik, 49, didakwa mengeluarkan empat ayat berbentuk hasutan tersebut di Jalan Medan Pusat Bandar 1A, Bandar Baru Bangi, Seksyen 9, pada 10 pagi, 6 Mei 2015.

Abdullah Zaik juga didakwa terhadap pertuduhan pilihan iaitu menerbitkan artikel berbentuk hasutan bertajuk 'Kedatangan pendatang Cina bersama penjajah British satu bentuk pencerobohan' melalui laman web ismaweb.net.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada tempat dan tarikh yang sama, antara 3 petang hingga 3.30 petang.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) dan Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta yang sama.

Jika disabitkan, kesalahan pertama memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua pula boleh dipenjara sehingga lima tahun.


Tiada ulasan: