Ahad, 22 Mei 2016

Potong gaji sudah 4 tahun, bila rumah nak siap?'


'Potong gaji sudah 4 tahun, bila rumah nak siap?'
Pembeli yang menzahirkan rasa kecewa semalam.


PASIR PUTEH - Ratusan pembeli rumah kecewa apabila terpaksa menanggung pembiayaan menerusi pemotongan gaji sejak empat tahun lalu sedangkan rumah yang dibeli belum disiapkan pemaju sehingga ke hari ini.

Kebanyakan pembeli rumah di kawasan perumahan di Cherang Ruku dan Jeram Pasu deka sini, merupakan anggota dan bekas anggota tentera kerana syarikat terbabit menawarkannya di kem mereka.

Seorang pembeli, Afandi Yahya, 36, berkata, dia bersetuju membeli rumah yang ditawarkan dengan harga RM108,000 pada tahun 2010 lalu.

"Sepatutnya rumah itu dah siap tapi malangnya ia terbengkalai sehingga sekarang yang menyebabkan saya terpaksa menyewa rumah," katanya yang merupakan pesara tentera.

Lebih menyedihkan katanya, pencennya sudah dipotong sebanyak RM620 sebulan untuk pembelian rumah berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

"Pencen saya RM1,100 sebulan, dipotong RM620 untuk bayaran rumah dan sewa rumah sekarang RM400, apa lagi yang saya ada, kalau macam ni, saya dan keluarga nak makan apa.

"Syarikat itu kini menggunakan nama baharu mungkin kerana ingin lari daripada masalah ini tapi kami sebagai pembeli tetap menuntut hak kami sebagaimana yang dijanjikan," katanya.

Seorang lagi pembeli, Amran Awang, 36, berkata, dia sudah beberapa kali ke pejabat syarikat yang terbabit dengan pembinaan rumah berkenaan tetapi wakil syarikat berjanji akan menyiapkan seberapa segera.

"Sekali kita tanya, dia kata tiga atau empat bulan akan siap, kali kedua tanya jawapannya lebih kurang macam tu juga," katanya ketika bersama puluhan pembeli mengadakan piket di perumahan di Jeram Pasu dekat sini, semalam.

Menurutnya, dia berharap rumah yang dibeli disiapkan tahun ini juga kerana dia tidak mampu menampung kos potongan untuk pembelian dan kos sewa rumah serentak.

"Sepatutnya saya sudah menerima kunci menduduki rumah enam tahun lalu tapi sampai sekarang tak siap, sesetengah rumah dinaiki semak. Kebanyakan pembeli sudah bersara dan terpaksa menyewa rumah di merata tempat.

"Pembeli yang kecewa berharap pihak berwajib memandang serius masalah itu serta membantu menyelesaikan masalah rakyat yang menjadi mangsa penipuan pihak tertentu," katanya.

Tiada ulasan: