Rabu, 4 Mei 2016

POLIS PENGIRING TUN M - MENGAPA ZAHID TAK MAHU JAWAB SENDIRI?

shahbudindotcom

 

 
 
Kelihatan agak janggal bila Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi membuat keputusan menyerahkan kepada Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar untuk mengeluarkan kenyataan berhubung penarikan khidmat polis pengiring ke atas  bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Zahid mewajarkan tindakannya dengan berkata, "ini kerana berkaitan pihak polis, saya lazimnya tidak terlibat dalam soal operasi, saya hanya terlibat dalam soal dasar saja."

Bolehkah diterima soal menarik khidmat polis pengiring itu semata-mata soal operasi dan tiada kaitan dengan dasar?

Kalau ia pun berkaitan operasi, ia tentulah tidak seperti operasi polis tangkap pencuri, cegah jenayah atau operasi mengesan kecuaian pemandu di jalanraya yang menyebabkan Menteri Dalam Negeri tidak boleh bersuara sama sekali?

Bukankah dalam soal penarikan khidmat polis pengiring itu, Menteri Dalam Negeri lebih sesuai bercakap mengenainya berbanding Ketua Polis Negara, lebih-lebih lagi yang menjadi subjek ialah seorang negarawan dan bekas Perdana Menteri?

Mengapa Zahid perlu mengelak? Mengapa seolah-olah takut untuk berterus terang membela Najib dan kerajaan dalam keputusan menarik polis pengiring itu?

Kenapa beliau tidak seberani Nazri Aziz yang secara terbuka mengatakan penarikan polis pengiring itu merupakan tindakan yang tepat berikutan Tun Mahathir sekarang tidak sehaluan lagi dengan kerajaan yang dipimpin oleh Najib.

Main selamat ke? Atau dah letih membela Najib?

Yang rakyat ingin tahu juga ialah siapakah memberi arahan berkenaan penarikan khidmat polis pengiring itu?

Apakah ianya datangnya daripada Najib, Zahid atau "pandai-pandai" Khalid melakukannya berdasarkan operasi polis?

Oleh kerana ramai yang menyalahkan Najib berhubung penarikan khidmat polis pengiring itu, terutamanya kerana Zahid dan Khalid tidak bermusuh secara langsung dengan Tun Mahathir, apakah dengan menyerahkan kepada Ketua Polis Negara mengeluarkan kenyataan berkenaan dengannya, bermakna Zahid tidak mahu terpalit apa-apa dengannya?

Apakah jauh di sudut hatinya, Zahid turut simpati dengan Tun Mahathir sebagai negarawan yang sudah berusia 91 tahun diperlakukan sedemikian rupa, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa selain menyenyapkan diri sahaja? 


Tiada ulasan: