Sabtu, 14 Mei 2016

PM ke UK selama 4 hari mulai 15 Mei

MALAYSIAKINI




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan kerja ke United Kingdom dari 15 hingga 18 Mei.

Kementerian Luar dalam kenyataan, hari ini, berkata Perdana Menteri akan merasmikan Malaysia-UK Investor Showcase Agenda anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Perniagaan dan Pelaburan Komanwel (CWEIC) pada 16 Mei di Marlborough House, London.

"Pameran itu bertujuan meningkatkan sinergi pelaburan dua hala antara kedua-dua negara serta mengenal pasti peluang bagi syarikat perniagaan Malaysia dan UK untuk berganding bahu sebagai rakan global dan Komanwel," katanya.

Menurut kenyataan itu, Najib juga menerima undangan daripada Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) untuk menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Tahunan Keenam GSIAC pada 17 Mei.

Tema utama mesyuarat itu ialah Meningkatkan Daya Saing & Pembangunan Lestari Malaysia Melalui Sains-Agenda Pemacu melalui dua segmen utama iaitu "Membina Masa Depan Malaysia: Industri Baharu, Pekerjaan Baharu"; dan "Cabaran Pembangunan Lestari: Mewujudkan Pekerjaan dan Menjana Kekayaan".
- Bernama


Tiada ulasan: