Ahad, 15 Mei 2016

PKR minta orang ramai hadir sokong Isham Rais

MALAYSIAKINI




Naib Presiden PKR, Tian Chua menyeru orang ramai supaya menyatakan sokongan kepada aktivis sosial, Hishamuddin Rais yang berdepan hukuman penjara sembilan bulan di bawah Akta Hasutan.

Beliau berkata, Hishamuddin adalah salah seorang daripada banyak aktivis, tokoh masyarakat sivil dan pemimpin politik yang berhadapan tindakan keras kerajaan.

“Ramai yang telah dikenakan hukuman dan menunggu untuk pergi ke penjara.

"Banyak lagi boleh menjadi mangsa kepada budaya autokratik yang semakin meningkat di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Razak.

“Kita tidak boleh membenarkan perkara ini berlaku. Kita tidak boleh membenarkan Najib untuk memaksa kami menyerah kalah. Kita tidak boleh membenarkan PM untuk melepaskan diri dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” kata Tian dalam kenyataannya hari ini.

Esok merupakan hari penentuan sama ada aktivis itu akan menempuhi hukuman penjara sembilan bulan setelah disabitkan bersalah di Mahkamah Tinggi pada 15 Januari lalu.

Hishamuddin, 64, didakwa mengikut Akta Hasutan atas kenyataan yang dibuatnya pada 13 Mei 2013.

Beliau dituduh menghasut orang ramai untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Hishamuddin sebelum ini mengemukakan rayuan dan esok Mahkamah Rayuan Putrajaya akan menentukan sama ada ia diterima atau ditolak.

Justeru, Tian menyeru semua pihak untuk sama-sama datang ke mahkamah Putrajaya esok bagi memberikan sokongan kepada Hishamuddin.

"Saya menyeru rakan-rakan saya, ahli-ahli parti dan orang ramai untuk datang ke mahkamah pada jam 09:00 pagi esok, Isnin 16 Mei untuk menyatakan solidariti kepada Hishamuddin Rais.

“Tindakan kami bukan sahaja untuk memberi sokongan untuk seorang aktivis yang telah bertungkus lumus berjuang untuk hak demokrasi dan kebebasan, tetapi ia juga adalah satu ungkapan harapan.

“Kami percaya tindakan kita akhirnya akan memberi perubahan melalui usaha dan keyakinan kita, keadaan akan berubah menjadi lebih baik,” katanya.


Tiada ulasan: